28 Mei 2013

'Biar pahit asalkan mujarab'

A. SAKTHIVEL, Datuk S. Murugesan dan T.Mohan, antara nama calon MIC yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Walaupun bernasib baik terpilih juga sebagai calon untuk PRU-13 pada 5 Mei lalu, namun nasib masih tidak menyebelahi mereka. Dan tewas lebih teruk lagi.
Sesiapa pun masih tidak faham mengapa Presiden MIC, Datuk G.Palanivel masih memerlukan mereka yang kalah pada 2008 untuk dijana sebagai 'winnable candidate'.
Sudah tentu Pengerusi BN bergantung kepada penilaian Palanivel tetapi kenapa beliau masih main 'sembunyi-sembunyi' bahawa calon-calon MIC di Selangor sebenarnya bukanlah 'winnable'.
Melainkan P. Kamalanathan menang di Parlimen Hulu Selangor, realitinya MIC memang tidak memiliki calon-calon berwibawa boleh menang di Selangor. Ini terutamanya Kota Raja, Kapar, Subang serta tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ijok , Seri Andalas dan Batu Caves.
Pencapaian MIC dalam PRU-13 masih belum selamat meskipun menambah satu lagi kerusi Parlimen berbanding tiga pada 2008. Di peringkat DUN pula, MIC tewas teruk sekadar meraih lima daripada 18 kerusi yang ditandingi.
Meskipun dalam dua minggu selepas pilihan raya, dikatakan sudah nampak perubahan dalam hala tuju MIC namun dalam masa terdekat ini, MIC memerlukan lebih banyak orang berpendidikan dari parti itu.
Ini untuk menunjukkan kepada masyarakat India yang MIC benar-benar telah melalui transformasi kepemimpinannya demi menunjukkan corak masa depan cerah komuniti India.
Begitupun dalam tempoh perubahan parti ini diambil, masih ada kesilapan yang berlaku dan memerlukan satu langkah tegas ke hadapan untuk mengekangnya.
Antaranya yang terbaharu selepas PRU-13 apabila diteliti soal peletakan jawatan Setiausaha Agung, Murugesan yang memanglah diakui suatu pergerakan yang bagus kerana beliau sendiri kalah buat kali kedua dengan jumlah undi lebih besar, 29,000 undi.
Namun lain ceritanya apabila Murugesan digantikan pula dengan Sakhtivel yang kalah dengan bilangan undi lebih kurang serupa, 28,000 undi. Adakah pengisian kekosongan jawatan setiausaha agung parti sesuatu remeh? Ini cukup 'merisaukan' kerana setiausaha agung berperanan besar dalam mencatur jentera parti.
Dan kalau 'bersambung-sambung' perkhidmatan macam dulu, maka dikhuatiri akan 'dibaca' tindakan itu sebagai mengundang bencana. Yang seolah-olah MIC tidak memberi peluang kepada orang lain. Dan ini menunjukkan juga orang India yang nak masuk MIC mempunyai perasaan berbelah bahagi.
Pada masa sama, ia jelas memperlihatkan kelemahan MIC dalam meletakkan muka-muka baharu dan segar serta belum lagi 'dirosakkan' imej mereka.
Ada kalangan dalam MIC memberitahu penulis: "Sebab langkah ini bukan sahaja melemahkan MIC pada mata rakyat malah tempiasnya juga membawa padah pada BN, MCA dan Gerakan.
Katakan mereka bertanding di satu-satu kawasan yang mempunyai pengundi kalangan masyarakat India. Dan apabila pengundi tidak merasai persekitaran yang baik serta transformasi dimainkan MIC yang menjadi tonggak BN, maka kepincangan itu lebih terarah kepada MIC yang mewakili kaum India.
Buat masa ini ada kalangan dalam MIC mengadu tidak mendapat pembelaan daripada pucuk pimpinan. Ini menjadi keluh-kesah mereka kerana ada pemimpin tertinggi MIC apabila dihubungi, tidak mahu jawab panggilan. Apabila dihantar pesanan termasuk SMS, juga tidak dibalas.
Palanivel sendiri dikatakan tidak nampak kelibat turun padang ke Selangor semasa pilihan raya umum baru-baru ini.
Sedangkan di negeri itu ketara unsur sabotaj terhadap MIC. Daripada 28 kerusi yang ditandingi MIC pada PRU-13 yang sepatutnya dipantau dengan serius, di sebalik itu beberapa pemimpin atasnya dikatakan asyik memikirkan 'perkara lain'. Sehinggakan dikatakan begitu 'liat' untuk turun padang melainkan jaga kerusi yang ditandingi sahaja. Antaranya, Parlimen Cameron Highlands. Di Selangor, dia dikatakan hanya meletakkan calon-calon dari MIC yang diketahui umum begitu lemah.
Barangkali itu antara sebab pucuk pimpinan BN mengiktiraf komitmen Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) dalam memperjuangkan masyarakat India.
Ini membawa kepada menandatangani memorandum persefahaman dengan Hindraf dan pelantikan pengerusinya, P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Per dana Menteri.
Di Cameron Highlands, banyak ranjau yang terpaksa dilalui Palanivel, 67, sebelum mampu menang di kerusi penyandang rakannya, Devamany itu. Beliau tidak mendapat kemenangan mudah apabila memperoleh majoriti tipis 462 undi terhadap pencabar utama, M. Manogaran, 53, bekas ahli Parlimen Teluk Intan dari parti DAP.
Timbalannya, Dr. Subramaniam pula berjaya menutup mulut calon 'gergasi' pembangkang Datuk Chua Jui Meng dan 'bonusnya' Subramaniam melangkaui bosnya ke kementerian lebih prestij, Kementerian Kesihatan.
Pemimpin MIC yang memilik imej sempurna, P. Kamalanathan pula berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti 3,414 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon PKR, Khalid Jaafar dan dua calon bebas Datuk Dr R.Santhara Kumar dan Radzali Mokhtar.
MIC perlu memikul tanggungjawab besar membantu UMNO. Masyarakat India perlu memandang jauh ke depan.
Bercakaplah benar kepada pucuk pimpinan, walaupun pahit.
Biar pahit asalkan mujarab untuk pucuk pimpinan merancang kesinambungan mandat BN yang lebih dihargai rakyat, sekali gus memacu masa depan parti dan negara.

Tiada ulasan: