KUALA LUMPUR, 14 Mei – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa kesal dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada parti selepas berjaya mengekalkan mandat sebagai kerajaan Persekutuan.

“Tuduhan tersebut dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak berada dalam komiti Bilik Perang terbabit,” katanya.
Ujarnya, segala aktiviti dan pelaksanaan tugas yang dilakukan dalam Bilik Perang BN adalah bersifat rahsia dengan perbincangan dalaman dilakukan secara telus dan tepat.
“Saya juga menolak manipulasi yang dimainkan oleh pihak pembangkang dengan anggapan bahawa BN gagal malah UMNO sebagai komponen terbesar dalam BN berjaya menambah bilangan kerusinya daripada 79 pada 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.
“BN juga mendapat sokongan padu dengan mengembalikan kuasa pentadbiran di Negeri Kedah dan Perak kepada BN,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua data dan maklumat yang dikeluarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini adalah tidak benar.
“Saya menafikan semua tuduhan-tuduhan tersebut,” ujarnya.
Dilaporkan, selepas PRU-13, terdapat segelintir pihak khususnya pakatan pembangkang yang memainkan sentimen masyarakat dengan mengeluarkan data-data dan fakta palsu sebagaimana kononnya berlaku gangguan bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi, wujudnya pengundi hantu selain harga barangan keperluan yang naik.
“BN sentiasa mendukung sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dan yakin bahawa PRU-13 lalu berlangsung dengan sempurna.”
Tambahnya lagi, BN juga tidak akan mengkhianati rakyat sebaliknya melakukan pelaksanaan sebagaimana perancangan dalam Aku Janji pilihan raya.
Manifesto BN yang dibentangkan oleh Pengerusnya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah aku janji yang bertemakan ‘Rakyat Didahulukan’ dengan tajuk ‘Meniti Janji Membawa Harapan’ memfokuskan kepada 17 perkara dan akan ditunaikan kepada rakyat.
– MediaUMNO | hwa 15Mei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan