28 Mei 2013

BN perlu berani berubah - Najib

Najib Razak bersama Sheikh Mohd. Fauzi (kanan), Mohd. Fakharuddin Mohd. Arif (dua kanan), Abu Bakar Harun (tiga kanan) bersama kepemimpinan UMNO dan wakil parti komponen BN memotong pulut kuning dalam Majlis Kesyukuran UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad, Pekan, Pahang, semalam. 
*****
PEKAN 26 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) perlu terus melakukan perubahan dalam aspek strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk kekal relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Menurut Perdana Menteri, landskap politik negara terus berubah pantas menerusi proses urbanisasi, taraf hidup, pendidikan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau menambah, perkembangan itu memperlihatkan formula yang diguna pakai oleh BN selama ini mungkin tidak relevan lagi dan memerlukan pembaharuan mengikut kesesuaian semasa.
"Kita tidak boleh anggap apa diguna pakai selama ini sesuai pada masa akan datang. Perlu bersikap terbuka, pragmatik dan bukannya dogmatik serta menjadi sebuah parti yang sentiasa menyelesaikan masalah bukan menafikan masalah.
"Setiap pilihan raya umum akan datang lebih mencabar dan semakin besar cabaran menanti, parti politik perlu berani membawa unsur perubahan itu dengan menyegarkan imej parti dan jadikan ia lebih diterima rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran meraikan kejayaan BN Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff; ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun, ADUN Peramu Jaya, Datuk Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali dan ADUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.
Najib berkata, kejayaan mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum lalu memperlihatkan BN adalah sebuah parti yang unik.
"Tidak ada parti politik dalam demokrasi parlimen terbuka yang boleh gambar kejayaan seperti mana dicapai oleh BN kerana berjaya pertahankan rekod kecemerlangan secara tidak putus, sambung menyambung," katanya.
Bagi mengekalkan kejayaan tersebut, beliau berkata, parti perlu berani berubah sebelum rakyat mengubahnya dengan melakukan perubahan pragmatik.
"Kita (BN) perlu berani berubah sebelum rakyat menolak. Lakukan perubahan dan pragmatik inilah jadi pegangan sebab sekali pun kita berkuasa sekian lama, budi yang ditabur itu bukan hak kita untuk terus memimpin.
"Kejayaan besar tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Berani lakukan perubahan, fahami kehendak dan cita rasa serta denyut hati rakyat supaya BN terus dilihat dinamik dan relevan," katanya.
Beliau berkata, BN juga akan mengenal pasti sebab mengapa mereka yang tidak menyokong parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
"Dalam demokrasi terbuka, mustahil bagi kita mendapatkan sokongan 100 peratus tetapi kalau ada kesungguhan, ikhlas dan berdiri atas kebenaran rakyat akan sokong akhirnya," katanya.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan wakil rakyat BN supaya berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat sebagai jaminan kelangsungan parti untuk terus relevan pada masa akan datang.
Katanya, bukan matlamat wakil rakyat menjadi yang berhormat dan mendapat kuasa tetapi memiliki kedua-dua itu adalah atas tujuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Bawa diri kita dengan baik, tegur menegur, jangan sombong, jangan angkuh dan jangan mungkir janji.
"Bawalah diri kita dengan tawaduk. Kalau kita bersikap rendah diri, rakyat akan kasih kepada kita," katanya.

Tiada ulasan: