13 Mei 2013

Hina PM: Pertubuhan Silat Gayong sifatkan Kit Siang hantu raya

Adiwijaya Abdullah (duduk tengah) dan bersama ketua-ketua PSSGM bercakap pada sidang media sebagai membantah tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan perhimpunan haram serta menghasut orang ramai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13, di Hotel De Palma Ampang, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 11 Mei - Jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gelaran 'syaitan', kini terpalit semula kepadanya apabila digelar pula 'hantu raya'.
Gelaran tersebut diberikan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah kepada Ahli Parlimen Gelang Patah itu apabila secara terang-terangan menghina pemimpin negara yang telah diberi mandat untuk membentuk semula kerajaan pada pilihan raya umum minggu lalu.
Jelasnya, Najib adalah Imam Khalifah Agung PSSGM, jawatan tertinggi dalam adat istiadat pertubuhan itu.
Justeru katanya, jika Kit Siang menghina Perdana Menteri, itu bermakna dia turut menghina Pertubuhan Silat Seni Gayung.
"Kalau berani dia (Kit Siang) cakap Perdana Menteri kita sebagai syaitan, kita juga berani katakan dia adalah hantu raya yang paling besar sebab menghasut orang Cina yang baik dengan kita untuk membenci kerajaan.
"Tiada orang Cina yang tak baik dengan kita, tetapi hasutan yang melampau telah menyebabkan mereka terpengaruh dengan DAP," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas bersama wakil PSSGM seluruh negara di sini hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan Kit Siang telah menggelar Perdana Menteri sebagai 'syaitan' ketika berceramah di hadapan lebih 3,000 penyokongnya yang sebahagian besar terdiri daripada kaum Cina di Dewan Chin Woo, Ipoh.
Antara kata-kata Kit Siang yang dipetik dari akhbar berkenaan termasuklah: "You want (kamu mahu) syaitan yang dikenali kembali menjadi Perdana Menteri?" sambil dijawab: "No" (tidak) oleh menyokongnya.
Beliau juga bertanya: "Siapakah syaitan yang dikenali?" dan jawapan yang diterima: "Najib".

Tiada ulasan: