KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah rasmi walaupun masih dipertikai pihak yang kalah dengan bermacam dakwaan termasuk pengundi hantu, penipuan lambat mengira undi dan menukar kertas undi selepas tempat kiraan undi terputus bekalan elektrik.
Tambahan tujuh Parlimen dan 71 Dewan Undangan Negeri (DUN) dirampas pakatan pembangkang berbanding PRU 2008 tidak memadai selagi kuasa Pusat dan negeri belum menjadi milik mereka sepenuhnya.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berterusan dituduh menipu, hasil paling ketara PRU-13 adalah peralihan besar-besaran komuniti Cina kepada pakatan pembangkang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak khususnya untuk calon-calon DAP, calon PKR dan wakil Pas bagi kawasan yang tiada calon DAP dan PKR.
Dari satu sudut, BN dikatakan mengekalkan kemenangan hasil peningkatan sokongan majoriti Melayu terhadap UMNO di Semenanjung serta parti-parti bumiputera di Sabah dan Sarawak di samping peningkatan kembali sokongan kepada sebahagian wakil India BN, sementara parti komponen kaum Cina kalah teruk.
Pakatan pembangkang pula kini memonopoli hampir keseluruhan sokongan orang Cina di samping sebahagian orang Melayu kelas pertengahan dan India khususnya dalam DAP dan PKR tetapi calon-calon Pas dilihat kehilangan undi Melayu majoriti di beberapa kawasan khususnya di Kedah dan Kelantan.
Peralihan undi orang Cina secara besar-besaran menyebabkan seorang pemimpin parti komponen Cina BN mendakwa bermulanya sistem politik antara kaum di mana majoriti orang Melayu bersama kerajaan BN sementara majoriti orang Cina bersama pembangkang.
Persoalannya, apakah maksud tsunami undi orang Cina kepada pembangkang hanya satu pilihan demokrasi politik kaum yang semakin kukuh, atau hanya mengharapkan wakil yang kuat jika pakatan pembangkang merampas Kerajaan Pusat dan negeri-negeri?
Penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara), Ahmad Zaki Hassan berpendapat perkembangan itu menunjukkan orang Cina yang sudah selesa dalam aspek ekonomi kini mengejar pula kelangsungan politik dengan tapak yang dilihat kukuh pada DAP.
"Gambaran sudah jelas dengan kemenangan besar calon-calon DAP bahawa orang Cina sepakat di bawah parti tersebut berbanding parti komponen Cina dalam BN.
"Bukannya apa yang Perdana Menteri dan BN lakukan tiada kesan tetapi mereka merasakan tidak perlu lagi duduk di bawah orang Melayu untuk dapatkan kuasa politik seperti dahulu dan yakin dengan DAP sebagai parti dominan Cina untuk memegang kuasa politik," katanya.
Tambahnya, jika orang Cina memerlukan bantuan sekalipun tidak perlu meminta atau tercari-cari kerana PKR dan Pas akan tolong, seperti mana DAP tidak perlu susah payah kerana jentera dua parti tersebut menolong kempen PRU-13 mereka.
Menurut beliau, laba kepada trend sokongan pengundi Cina itu jelas diperolehi DAP dan mereka yang mengikuti perkembangan ini pasti sedar akan impaknya.
"Orang Cina sudah yakin mereka tidak perlukan Melayu lagi, mereka boleh membuat tuntutan tanpa perlu (sokongan) orang Melayu.
"Namun, DAP juga pandai kerana tidak menggunakan cacian dan pergaduhan seperti Pas dan PKR sebaliknya melalui kertas undi. Orang Cina jarang terlibat dalam pergaduhan kerana tahu ia akan menjejaskan ekonomi (yang dikuasai mereka)," jelasnya.
Beliau memuji kebijaksanaan politik orang Cina dan bertanya, bilakah orang Melayu pula akan sedar fakta tersebut khususnya dalam Pas dan PKR sendiri yang mungkin sudah sedar tetapi belum ada yang berani bertindak sehingga kini.
"Mungkin selepas PRU-13 ini akan ada tindakan daripada Melayu dalam pembangkang untuk imbangi taktik DAP. Saya tidak lihat 2013 ibu segala pilihan raya, sebaliknya PRU berikutnya bakal jadi penentu.
"Kesungguhan orang Cina dapatkan kuasa politik mungkin akan timbulkan isu rasis dan undi dalam PRU berikutnya mungkin akan berasaskan kaum," katanya.
Beliau bagaimanapun berharap UMNO dan BN agar tidak bersedih kerana 133 kerusi Parlimen itu kemenangan kukuh di ketika orang Cina beralih secara besar-besaran dan menasihatkan lebih tumpuan kepada Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta penyokong kerajaan pula.
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula melihat peralihan sokongan orang Cina sebagai satu pertaruhan gagal dalam mendapatkan wakil dalam 'kerajaan memerintah'.
"Secara ringkasnya, orang Cina menolak MCA, Gerakan dan parti komponen Cina dalam BN, maka tidak wajarlah UMNO pula dipersalahkan kerana gagal menarik kembali undi Cina.
"Undi Melayu kepada UMNO dan BN sebenarnya meningkat sehingga 70 peratus. Pas dan PKR juga tidak boleh mendakwa mereka mewakili majoriti Melayu memandangkan ramai di antara mereka menang atau dipertahankan pengundi Cina," jelasnya.
Beliau mendakwa parti komponen Cina dalam BN gagal menangkis permainan politik cauvinis kaum oleh DAP dan akibat pilihan pengundi Cina itu, mereka kerugian kerana tiada lagi wakil dalam Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, kini lebih ramai Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak mewakili rakyat termasuk wakil untuk orang India akan berada dalam Kabinet sementara orang Cina sudah hilang suara pembuat dasar negara dan di kebanyakan negeri.
"Orang Cina ada wakil yang ramai dalam Parlimen tetapi tiada suara dalam kerajaan. Soalannya, adakah orang Cina rasa selamat di bawah DAP sebagai pembangkang? Ini orang Cina sendiri perlu jawab, bukannya UMNO.
"Saya rasa mereka cuma mahu wakil yang kuat dalam 'kerajaan' tetapi hasrat itu terkandas di tengah jalan apabila pakatan pembangkang gagal merampas kuasa. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," ujarnya.
Beliau melihat trend tersebut tidak baik untuk negara khususnya impak kepada sistem demokrasi permuafakatan khususnya jika wujud prasangka antara kaum Cina dan Melayu.
Mohamed Mustafa lebih bimbang jika impak negatif hasil keputusan pengundi Cina itu melangkaui politik sehingga ke aspek sosial serta ekonomi, sesuatu yang beliau yakin turut dibimbangi DAP sendiri yang sedar Melayu masih penduduk majoriti di negara ini.
"Tidak adil salahkan Perdana Menteri dan UMNO, DAP yang perlu bertanggungjawab jika orang Melayu tolak orang Cina dalam sudut tertentu (sosial dan ekonomi). Orang Cina juga tidak boleh salahkan sesiapa, ini tindakan mereka sendiri.
"Undi Melayu sudah kembali kepada UMNO dan BN, ini dapat dilihat di kawasan-kawasan majoriti Melayu yang turut menolak Pas dan PKR. Ingatlah, ramai juga orang Melayu (pengundi BN) yang kecewa dengan perkembangan ini, Melayu yang banyak ketinggalan tetapi Cina mahu menuntut macam-macam," dakwanya.
Beliau mengingatkan bahaya bermain isu perkauman seperti yang berlaku pada 1969 tetapi DAP dilihat tidak serik bermain irama sama yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada ekonomi dan hubungan antara kaum kelak.
"Tidak boleh salahkan sesiapa, sepatutnya sudah tahu akibatnya jika gagal tukar kerajaan, pertaruhan gagal, rugi sendiri. Ini tidak bagus untuk negara kita, jangan sampai tidak terkawal impaknya ke atas rakyat," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan