7 Mei 2013

Kepercayaan rakyat mahu kerajaan terus progresif

Kepercayaan rakyat mahu kerajaan terus progresif
Komuniti perniagaan menyatakan kelegaan dan kegembiraan dengan kemenangan Barisan Nasional dalam PRU-13.

Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar), berkata mandat baru yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan untuk terus membina negara yang lebih progresif dan berdaya saing dari segi ekonomi sejajar dengan Wawasan 2020 negara.
Beliau berkata, kemenangan BN itu akan menyediakan platform kukuh bagi kerajaan untuk meneruskan pelbagai program pembangunan yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Abdul Wahid berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) amat kritikal bagi membantu Malaysia mencapai matlamatnya menjadi sebuah negara maju, berpendapatan tinggi, inklusif dan mapan.

“Saya boleh menyatakan dengan yakin sektor perbankan berharap dapat menyokong ETP kerajaan. Kami sudah pasti berpeluang meraih faedah daripada peluang pembiayaan yang akan muncul dalam tempoh terdekat.

Pusat ekonomi
“Sesungguhnya, bersama-sama, kita boleh menjadikan Malaysia pusat ekonomi dan perniagaan utama di dunia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kewangan Islam utama di dunia,” katanya.
Reaksi positif terhadap kemenangan BN itu turut dikongsi oleh pemimpin perniagaan lain.

Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, berkata pasaran kewangan, ekuiti, bon dan mata wang memberikan reaksi yang sangat positif ke atas keputusan berkenaan sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa dalam pengurusan ekonomi BN dan lega kerana tempoh lama situasi politik yang tidak menentu di Malaysia sudah berakhir.

“Kami begitu mengharapkan, antaranya, perkembangan berterusan agenda Program Transformasi Ekonomi (ETO), termasuk pengenalan secara berperingkat Model Ekonomi Baru.

“Rakyat memberi mesej penting pada hari pengundian itu, jadi, kita mengharapkan yang Kerajaan BN akan meningkatkan penekanan dalam bidang seperti membasmi rasuah, keselamatan domestik, pendidikan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat miskin di bandar,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan merangkap Pegawai Negara Kanan J P Morgan bagi Malaysia, Steve Clayton pula, berkata kini PRU-13 sudah berakhir, risiko politik berkurangan dan akan memastikan kesinambungan dalam persekitaran perniagaan. - BERNAMA 
 
BH/7MEI

Tiada ulasan: