28 Mei 2013

LPT Fasa 2 dijangka siap akhir tahun depan

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Kesemua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap.
"Kita tahu rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera.
"Kami harap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja serta kami akan mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Plaza Tol Kuala Terengganu yang belum dibuka secara rasmi kepada awam serta meninjau kerja di sepanjang lebuh raya sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun hari ini.
Ini merupakan lawatan kerja pertama Ahli Parlimen Petra Jaya itu ke Terengganu setelah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir. Rosli Othman.
Sambil memberi jaminan beberapa masalah pembinaan lebuh raya yang dihadapi telah diatasi pihak pelaksana, Fadilah berkata, buat masa ini kawasan yang bermasalah dikesan tidak banyak.
"Kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga tiga peratus kelewatan masa," katanya.

Tiada ulasan: