
SEBAHAGIAN kenyataan Azmin Ali yang dipetik daripada Twitternya yang mengkritik Anwar Ibrahim.
*****
Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim berkata, hanya ahli keluarga atau individu yang rapat dengan Anwar berpeluang memegang jawatan penting dalam parti.
Menurut beliau, Anwar cuba memperbodohkan rakyat apabila menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan nepotisme.
"Rakyat tidak mudah tertipu kerana mereka dapat melihat sendiri PKR ialah sebuah parti anak-beranak. Amalan nepotisme merupakan perkara biasa dalam PKR.
"Agenda reformasi kononnya bagi membanteras amalan nepotisme yang diperjuangkan PKR itu sebenarnya indah khabar daripada rupa," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengakuan terbuka Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali semalam, bahawa masalah nepotisme berlaku dalam parti itu sehingga mencetuskan kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor.
Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor menyalahkan Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana menghantar senarai calon Menteri Besar kepada Istana Selangor kelmarin tanpa mendapat persetujuan dan konsensus barisan kepimpinan PKR Selangor, termasuk beliau.
Dalam pada itu, bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan memberitahu, Azmin sepatutnya keluar daripada PKR kerana tindakannya telah menimbulkan banyak masalah dalam parti.
Jelas beliau, Azmin terlalu berharap akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ekoran hubungan rapatnya dengan Anwar.
"Kenyataan Azmin tentang nepotisme dalam PKR agak melucukan kerana beliau merupakan antara pemimpin yang menyuburkan amalan itu dalam parti," ujarnya.
Tambah Kottapan, Pas dan DAP juga dipercayai memainkan peranan menolak pencalonan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor.
Sementara itu, bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong menganggap kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor mengesahkan konflik yang berlaku antara Azmin dengan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut beliau, konflik bertambah buruk apabila Anwar mengetepikan Azmin yang pernah dijanjikan untuk menyandang jawatan Menteri Besar Selangor.
"Azmin sebenarnya tidak mendapat restu daripada Presiden PKR dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar," jelasnya.
Lum Yong juga menempelak Azmin kerana menyalahkan pihak lain sedangkan isu pemilihan Menteri Besar Selangor berpunca daripada masalah dalaman PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan