14 Mei 2013

PRU-13: Tanggung sendiri risiko

KUALA LUMPUR 12 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada pihak berkuasa Singapura untuk mengambil tindakan terhadap 21 rakyat Malaysia yang ditahan kerana mengadakan demonstrasi haram di republik itu sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, pihak berkuasa negara ini tidak akan mencampuri urusan undang-undang Singapura dan terpulang kepada polis republik itu untuk mengambil apa jua tindakan terhadap peserta perhimpunan terlibat.
Khalid bagaimanapun memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan pegawai polis yang bertugas di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bertemu dengan rakyat tempatan yang ditahan itu untuk bertanya tentang keadaan mereka dan bantuan yang diperlukan.
“Kita percaya kesemua rakyat Malaysia yang ditangkap itu mengetahui bahawa perhimpunan haram memang tidak benar diadakan di Singapura dan mereka yang ditangkap melakukan perbuatan itu bakal berhadapan dengan hukuman berat.
“Jadi mereka yang ditangkap semalam harus bersedia menghadapi proses undang-undang di republik itu. Kita tidak akan campur tangan tetapi bersedia menghulur bantuan lain jika diperlukan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, polis Singapura menahan 21 rakyat Malaysia kerana mengadakan demonstrasi haram bagi membantah keputusan PRU-13 di Taman Merlion.
Kesemua rakyat Malaysia terbabit ditahan di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana mengadakan bantahan secara haram walaupun polis berulang kali memberi amaran agar mereka tidak mengadakan sebarang bentuk demonstrasi.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan berkata, warga asing yang tinggal atau bekerja di republik itu tidak dibenarkan menyertai demonstrasi haram.
Khalid seterusnya berkata, PDRM setakat ini, hanya menerima dua laporan kes berhubung perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13 yang diadakan di luar negara.
“Kes pertama ialah membabitkan pelajar Malaysia yang berhimpun dan bertindak menterbalikkan Jalur Gemilang di Taiwan baru-baru ini dan tangkapan 21 rakyat Malaysia di Singapura semalam.
“Dalam kes membabitkan pelajar di Taiwan, belum ada tangkapan dibuat setakat ini," katanya.

Tiada ulasan: