7 Mei 2013

UMNO berjaya pertahan kuasa politik

MUNGKIN seperti biasa pelbagai tafsiran dibuat berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelmarin yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal memperolehi mandat dua pertiga di Parlimen. Malahan sudah ada suara-suara yang menyatakan keputusan kali ini lebih buruk daripada pencapaian parti itu pada tahun 2008.
Bagaimanapun satu fakta penting yang tidak harus dilupakan, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya me ningkatkan pencapaian UMNO sebagai tonggak utama dalam BN.
Berbanding 2008 yang menyaksikan UMNO memperolehi hanya 79 kerusi, dalam pilihan raya umum kali ini pencapaian itu meningkat lebih 10 peratus apabila menguasai 88 kerusi.
Kejayaan itu sekali gus berjaya menghalang kemaraan pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk menumbangkan BN.
Bagi masyarakat Cina, mereka kecewa kerana harapan untuk menumbangkan UMNO menemui kegagalan, biar pun sudah menjadikan PKR dan Pas sebagai kuda tunggangan bagi meraih undi orang Melayu.
Ternyata sekali sebahagian besar orang Melayu masih bersama UMNO dan yakin kepada kesungguhan serta kegigihan Najib dalam memimpin negara. Malahan mereka juga yakin hanya UMNO membela nasib orang Melayu dan mempertahankan kesucian agama Islam.
Berikutan keyakinan itulah UMNO kembali merampas Kedah, mengekalkan pemerintahan di Perlis, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Terengganu dalam PRU-13
Kemenangan UMNO ini membolehkan secara keseluruhannya, BN menang 133 kerusi diikuti DAP (38), PKR (30) dan Pas (21).
Kejayaan ini seharusnya memberikan semangat kepada pemimpin dan ahli UMNO untuk terus mempertahankan keutuhan parti itu dengan menyokong Najib sebagai Presiden.
Ketika ini bukanlah masa untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak biarpun kita kecewa ada antara pemimpin UMNO yang tidak terpilih sebagai calon dan penyokong mereka bertindak seperti masyarakat Cina yang tidak tahu mengenang budi apabila melakukan sabotaj kepada parti sendiri.
Najib telah berjaya mengemudi UMNO untuk terus kekal sebagai parti tonggak utama orang Melayu tanpa perlu mereka terpengaruh dengan mainan politik PKR dan Pas.
Kegagalan untuk mendapat sokongan masyarakat Cina bukan kesilapan Perdana Menteri tetapi kerana golongan itu sendiri yang sudah dibenam dalam kepala mereka bahawa masanya sudah tiba untuk mereka menguasai politik selepas ekonomi.
Sebab itulah, mereka ‘menghumban’ Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd.Ali Rustam dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ke lembah kekalahan.
Bagaimanapun kita harus ingat kedua-dua mereka kalah secara bermaruah, tumbang secara terhormat. Mereka diperdaya oleh pengundi-pengundi Cina yang sememangnya tidak tahu membalas budi kedua-dua pemimpin tersebut.
Mohd. Ali yang dianggap pemimpin rakyat dan sentiasa prihatin dengan nasib mereka serta menaikkan imej Melaka langsung tidak mendapat pengiktirafan masyarakat itu.
Namun sebelum beliau tumbang di Parlimen Bukit Katil, Mohd. Ali telah berjaya mengemudi jentera pilihan raya UMNO untuk memastikan kemenangan cemerlang parti itu di Melaka.
Begitu juga Abdul Ghani biar pun kecundang kepada Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah, namun beliaulah pemimpin yang bertanggungjawab memastikan Johor terus berada di bawah pemerintahan UMNO.
Oleh itu, jasa mereka tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja, tiada salahnya mereka terus kekal sebagai pengerusi perhubungan dan mengemudi BN.
Apa pun dalam keadaan sekarang, UMNO harus terus diperkukuhkan dan Najib perlu diberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan parti itu terus menjadi tonggak kekuatan politik orang Melayu.
Tidak perlulah mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh dengan mula memikirkan strategi-strategi yang akhirnya akan dianggap satu ‘pengkhianatan’ kepada pemimpin dan parti sendiri.
Selain dari segi dalaman, UMNO juga perlu membuka laluan untuk memperkukuhkan kerjasama dengan NGO-NGO Melayu.
Masanya sudah tiba untuk kita membuang jauh-jauh fobia akan dituduh sebagai rasis oleh kelompok-kelompok tertentu terutamanya DAP yang sememangnya mahu melihat UMNO lemah.
Jika UMNO lemah sudah pasti orang Melayu lemah dan apabila keadaan itu berlaku maka mudahlah DAP meneruskan agenda politik cauvinis mereka dengan disokong oleh PKR dam DAP.
Selama ini, UMNO berusaha untuk tidak terlalu membangkitkan soal-soal Melayu demi menjaga hati kaum lain khususnya masyarakat Cina tetapi apa yang berlaku dalam PRU-13 menyaksikan perbuatan itu sudah tidak relevan lagi. UMNO harus ke depan dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan memperkukuhkan kedudukan politiknya.
Sebab itulah semua pemimpin dan ahli UMNO harus berada di belakang Najib, memberi sokongan penuh kepada Presiden UMNO itu untuk melaksanakan agenda penting berkenaan. Pemimpin dan ahli UMNO harus ingat selama ini Najib sudah berjaya memulihkan imej parti itu selepas apa yang berlaku pada tahun 2008.
Kita jangan lupa pada tahun berkenaan bukan kata masyarakat Cina malahan orang Melayu sendiri menjauhkan diri, namun Najib berjaya menarik semula orang Melayu menyokong UMNO biar pun menghadapi saingan sengit daripada PKR dan Pas yang ‘diperkudakan’ oleh DAP bagi meraih sokongan golongan tersebut.
Tambahan pula, isyarat yang diberikan oleh masyarakat Cina sudah menampakkan dengan jelas agenda mereka selepas ini.
Ingatlah mahu tidak mahu orang Melayu bergantung kepada UMNO untuk survival politik mereka. Usah bermimpi Pas mampu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut selagi mereka terus kemaruk kuasa bersama PKR dan DAP.
Oleh itu kepada pemimpin dan ahli UMNO, rapatkan barisan bersama-sama Najib yang ternyata terbukti berjaya memimpin parti itu mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum kali ini.
Najib perlu terus diberi mandat untuk memimpin parti dan negara kerana kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak cuba menjadikan kekuatan politik yang mereka miliki untuk mencabut satu demi satu apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Selama ini, usaha mereka gagal kerana adanya UMNO tetapi jika UMNO lemah, maka sudah pasti ia satu berita menggembirakan bagi puak-puak pembangkang khususnya DAP. Justeru jangan biarkan ini berlaku kerana UMNO adalah tonggak BN dalam pemerintahan negara.

Tiada ulasan: