30 Mei 2013

Wanita UMNO bidas AirAsia

Norhayati Omar 
*****
KUALA LUMPUR 29 Mei 2013 - Beberapa Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri hari ini terus mendesak supaya Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani meminta maaf secara terbuka terhadap kenyataan beliau terhadap akhbar Utusan Malaysia yang dikatakan rasis.
Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norhayati Omar mahu Pengerusi Lembaga Pengarah AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz bertanggungjawab memastikan syarikat itu bertindak selari dengan kerajaan dan sentiasa mendahulukan kepentingan negara.
"Kegagalan beliau (Rafidah) memastikan Azran membuat permohonan maaf secara terbuka membuktikan kegagalannya dalam menjalankan amanah sebagai pengerusi," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Azran menerusi akaun Facebook dan Twitternya baru-baru ini bertindak mencerca Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar rasis hanya kerana menyiarkan artikel berbentuk pertanya bertajuk Apa Lagi Cina Mahu? pada 7 Mei lalu.
Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya antiperkauman. Saya meluat dengan pendirian Jabatan Pengarang Utusan)."
Dalam akaun Twitter pula, beliau juga menyatakan pihaknya akan menarik balik iklan AirAsia di Utusan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mendesak Azran segera memohon maaf secara terbuka.
Ujarnya, pelantikan Rafidah juga perlu dipertimbangkan semula, ini ekoran kegagalan beliau memastikan isu yang timbul diselesaikan.
"Presiden UMNO perlu melihat semula tindak-tanduk ahli-ahli Majlis Tertingginya yang merupakan barisan hadapan parti dan sepatutnya selaras dengan perjuangan parti demi memperjuangkan bangsa Melayu di bumi Malaysia ini," jelas beliau.
Bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang, Zabariah Wahab, beliau kesal dengan kenyataan Azran tentang Utusan Malaysia yang dikatakan rasis.
"Azran seharusnya mengkaji dan membuat perbandingan dengan akhbar-akhbar berbahasa lain yang sememangnya lebih rasis," katanya.
Jelasnya, Rafidah sebagai bekas menteri dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO harus lebih peka dalam memastikan individu yang cuba menghalang keharmonian berbilang bangsa di negara ini diambil tindakan.
"Wanita Pulau Pinang menggesa agar Azran memohon maaf secara terbuka ke atas kenyataan yang telah dikeluarkan dan pihak AirAsia harus mengambil tindakan tegas terhadap beliau yang cuba menangguk di air yang keruh," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Kelantan, Datin Rahimah Mohamed pula, mendesak Tan Sri Tony Fernandes selaku pengasas dan pemegang saham terbesar AirAsia untuk menyatakan pendirian beliau terhadap kenyataan Azran.
Katanya, Fernandes perlu bertanggungjawab ke atas kenyataan yang dikeluarkan memandangkan jumlah pengguna Melayu yang tinggi di syarikat penerbangan itu.
"Fernandes perlu mengambil kira perasaan dan sensitiviti orang Melayu manakala Rafidah harus bertindak sesuai dengan tuntutan dan desakan daripada pelbagai pihak berhubung isu ini," katanya.

Tiada ulasan: