29 Jun 2013

BN perlu menang di Kuala Besut elak DUN Terengganu tergantung

PUTRAJAYA 27 Jun - Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut untuk mengelakkan keadaan DUN tergantung di Terengganu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertarungan sengit dijangka mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu memandangkan kerusi DUN tersebut terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu.
''Pemimpin pembangkang termasuk dari Kelantan dijangka turun untuk berkempen, saya turut mendengar khabar bahawa pembangkang akan meletakkan calon yang terkenal.
''Saya berterima kasih atas pengiktirafan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kekuatan kita di Kuala Besut, tetapi ia mungkin merupakan strategi mereka dan kita tidak akan ambil mudah pertarungan di kerusi ini," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 188 pegawai Jabatan Akauntan Negara di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang pilihan raya kecil yang dijangka diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar akibat komplikasi paru-paru berair semalam.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pengundi di Kuala Besut perlu memikirkan soal kestabilan politik di Terengganu secara keseluruhannya sebelum membuang undi untuk pilihan raya kecil yang bakal diadakan.
''Sekiranya pembangkang berjaya menawan kerusi ini, ia akan menjadikan masing-masing BN dan pembangkang menang 16 kerusi di Terengganu.
''Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku di negara ini. Ia perlu dielakkan dan BN mesti menang untuk memastikan kestabilan Terengganu tidak terjejas," katanya.
Beliau berkata, kemungkinan tempoh berkempen jatuh dalam tempoh bulan Ramadan tidak akan menjejaskan persediaan BN untuk berkempen di Kuala Besut.
''Poster-poster yang lama masih ada dan boleh diguna semula. Jentera tempatan untuk Pilihan Raya Umum 2013 yang lalu akan diperkasakan dengan jentera parti peringkat negeri dan kebangsaan.
''Kedudukan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan II juga memberi kelebihan kepada BN dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Tiada ulasan: