PAGOH 8 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan bedah siasat mengenai keseluruhan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 akan diketahui bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bedah siasat itu merupakan satu kajian terperinci melibatkan semua kawasan sama ada BN menang dengan majoriti besar atau kalah dengan majoriti kecil termasuk mendapat undi tipis.
"Penambahbaikan akan dilakukan, kita akan buat penilaian besar supaya kita dapat gariskan strategi dan langkah-langkah yang perlu diambil, contohnya kawasan-kawasan yang kita menang, kita akan dapat terus pertahankan kemenangan (pada masa depan).
"Di kawasan yang menang dengan undi majoriti kecil (kita akan kaji) macam mana hendak tingkatkan (undi) dan kawasan yang kalah (kita akan kaji) apa sebab kalah, apa isunya, bagaimana mahu hadapi masa depan dan macam-macam perkara lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan BN Pagoh di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan.
Muhyiddin berkata, melalui bedah siasat itu BN akan mengambil langkah dan inisiatif bagi menangani segala kelemahan sebelum mengatur satu strategi baharu bagi memastikan parti dapat mempertahankan kedudukannya pada masa akan datang.
Menurutnya, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah isu yang disuarakan pengundi dan masalah berkaitan pembangunan selain soal persepsi negatif terhadap kerajaan ditimbulkan oleh media sosial selain kajian terhadap kelemahan calon dan jentera BN.
Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan kali ini, beliau berkata, perkara itu masih di peringkat awal untuk diperkatakan dan belum sampai masa untuk beliau membuat kenyataan mengenainya.
"Saya tidak dapat komen (kerana masih) di peringkat awal, ini kerana masih ada masa, sampai masa dan ketika yang sesuai nanti akan buat kenyataan. Sebagaimana yang kita ketahui, UMNO adalah parti politik yang demokratik, bukan hak individu (tetapi) hak ahli dan hak seluruh parti," katanya.
Mengenai MCA yang tidak menerima sebarang jawatan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan namun boleh membatalkan resolusi tersebut melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) sebelum mesyuarat agung tahunan hujung tahun ini, Muhyiddin menyerahkan perkara tersebut kepada kepimpinan MCA.
"Itu hak mereka, jadi kita tunggu sahajalah. Kita tidak tahu sama ada masa sudah tiba untuk mereka membuat penilaian semula atau tidak. Ini soal MCA, serah kepada MCA untuk buat pertimbangan, kita harus akur dengan keputusan dibuat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan