9 Jun 2013

Pemuda UMNO tolak cadangan BN parti tunggal

KUALA LUMPUR 6 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO menolak cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal dan mahu parti itu terus kekal mewakili orang Melayu.
Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin sebaliknya berkata, cadangan itu buat masa sekarang amat tidak sesuai dan yang lebih penting ketika ini, UMNO perlu diperkukuh dan diperkuatkan lagi sekali gus mampu memberi sumbangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Pemuda mahu prestasi UMNO untuk menghadapi PRU-14 dilonjakkan lagi.
"Atas sebab itu Pemuda tidak dapat menerima cadangan BN dijadikan sebagai parti tunggal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda yang pertama selepas PRU-13 di sini.
Ketetapan Pemuda itu dibuat rentetan daripada cadangan Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn sebelum ini yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.
Mesyuarat selama tiga jam itu turut dihadiri Naib Ketua, Datuk Razali Ibrahim, barisan exco dan Ketua-ketua UMNO negeri
Dalam pada itu, Khairy berkata, Pemuda telah membuat ketetapan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Khairy berkata, keputusan itu bukan bermakna Pemuda menyekat amalan demokrasi dalam UMNO tetapi menjadi keutamaan kepada semua pemimpin untuk terus memperkukuhkan kedudukan parti.
"Walaupun kita menghormati proses demokrasi, atas kesedaran bahawa kita perlu memperkukuhkan UMNO, agenda transformasi menjadi keutamaan, Pemuda membuat ketetapan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memegang jawatan masing-masing," kata Khairy.
Beliau berkata, hanya Najib dan Muhyiddin yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengesyorkan supaya keahlian terus BN dihidupkan semula seperti yang telah diputuskan pada Konvensyen BN tiga tahun lalu.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan mereka yang enggan menyertai parti komponen tetap boleh menyertai BN.
"Cuma BN perlu memperkemaskan sistem cara keahlian terus BN ini dapat dilaksanakan," ujar beliau.

Tiada ulasan: