1 Ogos 2013

BN, UMNO ambil iktibar mesej rakyat - PM

Najib Tun Razak menyampaikan bantuan kepada penerima orang kurang upaya Ehsan Ghani dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Mu'adz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN 
*****
KUALA LUMPUR 31 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil iktibar dan bermuhasabah terhadap semua mesej yang disampaikan oleh rakyat dengan melihat trend Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyatakan komitmennya untuk terus memberi tumpuan kepada usaha memenuhi kehendak masyarakat terutama di kawasan bandar supaya Barisan Nasional (BN) dan UMNO terus menjadi parti pilihan bagi seluruh rakyat negara ini.
Dalam masa sama beliau berkata, BN dan UMNO perlu sentiasa diperkasakan, selain mendengar denyut nadi rakyat bagi memastikan parti kerajaan itu terus menjadi parti popular sama ada dalam kalangan masyarakat bandar mahupun luar bandar.
"Dengan ini juga kerajaan telah mengenal pasti tiga bidang tumpuan yang perlu perhatian sehingga memberi kepuasan terutama kepada masyarakat bandar.
"Pertama, memerangi habis-habisan jenayah dan rasuah seperti jenayah ragut, pecah rumah termasuk jenayah berat," katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Wilayah Persekutuan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Mu'adz bin Jabal di sini hari ini.
Kedua, Perdana Menteri berkata, menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dengan menyediakan jaringan pengangkutan awam yang berkesan.
Beliau berkata, hasratnya dalam perkara tersebut adalah untuk melihat pengangkutan awam bukan sahaja digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, malah yang berpendapatan tinggi.
"Cuba lihat kota besar seperti New York dan London bagaimana kemudahan pengangkutan awam di sana turut digunakan oleh golongan berpendapatan tinggi," ujarnya
Beliau berkata, tuntutan ketiga ialah memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik yang berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 di Wilayah Persekutuan
Untuk itu katanya, sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima tahun iaitu 50,000 unit di Kuala Lumpur, Putrajaya (20,000 unit) dan Labuan (10,000 unit).
Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menterinya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat dan Pengerusi Masjid, Abdullah Mohamad.
Dalam majlis tersebut sebanyak 1,500 golongan memerlukan menerima sumbangan yang disampaikan Perdana Menteri.

Tiada ulasan: