KUALA LUMPUR 4 Ogos - DAP seharusnya
mengutamakan pelaksanaan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana itu keputusan terbaik, mencerminkan
permintaan akar umbi DAP.
Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, langkah itu juga
menunjukkan ketulusan kepimpinan DAP berpegang pada janji mereka kepada
umum untuk melaksanakan apa juga keputusan yang diumum oleh ROS.
Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, Abdul Rahman turut
menjelaskan semua perkara berhubung pertubuhan diurus berdasarkan Akta
Pertubuhan 1966 dan ROS membuat keputusan berpandukan penjelasan yang
diberi oleh pihak terlibat.
"Dalam hal ini, ROS telah menyatakan pendiriannya yang tidak berpuas
hati dengan penjelasan yang diberikan. Pemimpin DAP sebenarnya sendiri
tahu mereka tidak memberi penjelasan yang memuaskan dan risiko yang
mereka ambil," katanya.
Menurut Abdul Rahman, Akta Pertubuhan 1966 juga tidak memperuntukkan
keperluan ROS menjelaskan mengapa mereka tidak berpuas hati dengan
penjelasan yang diberi.
"Perkara utama yang perlu difahami ialah tindakan-tindakan yang telah
diambil oleh ROS bertepatan dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966
bukan desakan atau dendam.
"Bahkan ROS telah mengambil sikap yang terlalu humanistic
menguruskan pemimpin DAP walaupun beberapa kali difitnah khususnya
sepanjang pilihan raya umum yang lalu atas dasar politik," katanya.
Kenyataan Abdul Rahman itu menyusul ekoran respons Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng DAP yang mempersoal peruntukan undang-undang yang
digunakan oleh ROS dalam memutuskan DAP perlu membuat pemilihan semula
Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).
Guan Eng juga dilapor berkata, DAP tidak akan mematuhi arahan ROS itu
selagi tuntutannya mengenai perkara berkenaan tidak dijelaskan
sepenuhnya.
Pada 30 Julai lepas, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula
CEC dan memaklumkan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang
diberikan oleh parti itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan
CEC dan isu manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, dakwaan pemimpin DAP bahawa
mereka telah memberi kerjasama penuh kepada ROS adalah tidak tepat
kerana sepanjang siasatan mereka sering meminta penundaan tarikh atau
memendekkan masa proses siasatan atas alasan sibuk dengan hal politik
kepartian mereka.
"Mereka juga sering kali menangguhkan penghantaran maklumat yang
diperlukan ataupun tidak menyediakannya walaupun perkara itu telah
dinyatakan kepada mereka lebih awal," katanya yang menyifatkan
keengganan DAP mematuhi keputusan ROS sebagai sangat mendukacitakan. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan