ALOR SETAR 10 Ogos - Kira-kira 150,000 ahli UMNO perlu mengunakan
peluang pemilihan parti Oktober ini untuk membantu pucuk kepemimpinan
memilih pemimpin di peringkat bahagian dan tertinggi yang benar-benar
dapat menterjemahkan aspirasi rakyat khususnya kaum Melayu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr.
Mahathir berkata, mereka perlu menggunakan kuasa pemilihan itu untuk
mengundi pemimpin yang berjiwa besar dan berjiwa rakyat bagi memastikan
parti itu terus muncul sebagai parti terkuat di negara ini.
"Antara lain ciri-ciri pemimpin kita kehendaki supaya parti terus
kuat ialah orang yang tiada masalah sehingga boleh menjejaskan parti,
mempunyai integriti tinggi, berwawasan dan mudah didekati rakyat,"
katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri
di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dilaporkan
berharap proses pemilihan parti yang akan berlangsung Oktober ini tidak
merosakkan atau menggugat UMNO sebagai sebuah parti terkuat di negara
ini.
Tegas Perdana Menteri, sebagai sebuah parti yang telah mengubah
perlembagaannya, UMNO kini menjadi lebih terbuka, demokratik dan
inklusif sehingga ramai yang menawarkan diri untuk bertanding berebut
jawatan dalam parti.
Sehubungan itu, Perdana Menteri amat berharap UMNO mendahului
parti-parti politik lain dari segi kaedah pemilihannya yang berjalan
begitu baik dan bersih serta mencerminkan tahap kematangan yang lebih
tinggi daripada mana-mana parti politik lain.
Mukhriz berkata, setiap kali pemilihan UMNO membuka peluang kepada
ahli untuk melakukan perubahan yang dirasakan perlu bagi menentukan
parti terbesar orang Melayu itu terus relevan.
"Kita berharap kepemimpinan baharu nanti dapat membantu Presiden dan
Timbalan Presiden UMNO untuk menjamin agar parti terus kuat, menjana
perubahan atau transformasi seperti yang diidamkan," kata Menteri Besar
Kedah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan