KUALA LUMPUR 29 Julai - Naib Presiden Pas, Datuk
Mahfuz Omar berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai fahaman Syiah
yang bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.
Dalam maklum balasnya kepada Utusan Malaysia melalui khidmat
pesanan ringkas (SMS), Ahli Parlimen Pokok Sena itu secara sinis turut
melontarkan soalan berhubung apa itu Syiah.
''Syiah itu benda apa? Kuih berbuka puasa? Saya pun tak tahu apa
Syiah. Ingat kuih buka puasa. Kawasan saya buat bubur lambuk sahaja,''
katanya ringkas.
Baru-baru ini kerajaan mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Tindakan tegas itu adalah rentetan daripada gerakan aktif pertubuhan
berkenaan sehingga memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan
keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya
berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Perisytiharan tersebut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandukan kepada peruntukan Seksyen 5, Akta
Pertubuhan 1966.
Ahmad Zahid turut mengesahkan terdapat beberapa pemimpin dari sebuah
parti pembangkang secara aktif terlibat menghebahkan fahaman Syiah di
beberapa negeri.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan dua pemimpin sebuah
parti politik dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab menyebar
dan memberi sokongan politik kepada gerakan fahaman tersebut.
Malah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan Pas
sukar untuk menafikan bahawa fahaman Syiah tidak wujud di dalam parti
itu dan antara puncanya adalah kegagalan pucuk pimpinan mengambil
tindakan tegas terhadap sebarang berita atau aduan mengenai penglibatan
pemimpin serta ahlinya di dalam fahaman tersebut.
Beliau berkata, selama ini sudah ada bukti-bukti yang menunjukkan terdapat pemimpin tertinggi Pas mengamalkan fahaman Syiah.
Perkara itu turut ditegaskan aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed
Nordin yang memberitahu pembabitan ahli Pas termasuk pemimpin kanan
parti tersebut dengan fahaman Syiah bukan suatu perkara baharu tetapi
telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Sementara itu, Utusan Malaysia gagal untuk mendapatkan reaksi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung perkara sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan