15 April 2008

Majlis Makan Malam Bertukar Jadi Perhimpunan Haram, Kata Polis

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perhimpunan Black 14 anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelab Sultan Suleiman di Kampung Baru di sini yang sepatutnya menganjurkan majlis makan malam bersama rakyat, bertukar menjadi perhimpunan haram.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata perhimpunan yang dihadiri kira-kira 7,000 penyokong PKR itu bermula pukul 8.30 malam ini, namun diberhentikan pada pukul 10.30 malam atas arahan Ketua Polis Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman, dan para penyokong kemudiannya bersurai dengan aman.
"Surat permohonan yang diserahkan kepada polis pada 8 April lepas hanya menyatakan untuk mengadakan majlis makan malam, dan ia menyebut hanya tiga pemimpin tertinggi parti itu akan memberi ucapan, tetapi sebaliknya (majlis malam ini) tiada majlis makan malam untuk rakyat, tetapi hanya kepada pemimpin parti itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini malam ini.
Beliau berkata tiga pemimpin tertinggi yang sepatutnya memberi ucapan ialah Timbalan Presiden Parti itu Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Pengerusi Kelab Sultan Sulaiman Datuk Mokhtar Ahmad, dan bukannya penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika ditanya pemberita kenapa permit perlu dimohon oleh parti itu sedangkan boleh dibuat di kawasan persendirian, Muhammad Sabtu berkata walaupun ia dibuat di kelab persendirian, ia bukan majlis tertutup.
"Ini kerana ceramah yang diadakan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran pengikut parti itu turut mendatangkan mudarat kepada orang awam lain dan peniaga pasar malam yang berniaga di sekitar kelab ini.
"Adalah menjadi satu kesalahan mengadakan perhimpunan atau perjumpaan tanpa permit dan Seksyen 27 (3) Akta Polis membolehkan polis memberhentikan mana-mana perhimpunan atau perjumpaan tanpa lesen," katanya.Polis Kuala Lumpur mengadakan kawalan lalu lintas sejak pukul 4 petang tadi melibatkan 1,350 anggota Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am, katanya.
Muhammad Sabtu berkata tiada sebarang tangkapan dibuat, bagaimanapun pihak polis akan mengkaji aspek undang-undang yang berkenaan, adakah perlu tangkapan dibuat selepas ini.
"Pada malam ini polis tidak menangkap mana-mana individu, tetapi tangkapan akan dibuat selepas ini bergantung kepada siasatan dan tidak terkecuali terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika didapati beliau juga telah melanggar undang-undang semasa perhimpunan itu diadakan," katanya.
Katanya polis akan berkawal di sekitar Jalan Kelab Sultan Sulaiman sehingga keadaan kembali reda.
-- BERNAMA, 15 April, 2008 08:52 AM

Tiada ulasan: