15 April 2008

Peralihan kuasa jangan terlalu lama

SHAH ALAM 14 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti berani menerima kenyataan dan membuat pelan peralihan kuasa kepimpinan parti dan negara kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, proses peralihan boleh dilakukan dalam jangka waktu terdekat atau lebih panjang tetapi tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama sehingga boleh menjejaskan pentadbiran negara mahupun parti.
"UMNO masih menghormati Pak Lah (Abdullah). Namun rakyat dan ahli UMNO ada pandangan sendiri yang telah diterjemahkan dalam pilihan raya serta perjumpaan-perjumpaan bersama akar umbi UMNO.
"Justeru cara terbaik ialah Pak Lah dan Datuk Seri Najib dapat mengemukakan satu rancangan peralihan kuasa yang licin dan dalam suasana mesra.
"Jika ini dapat dilakukan secara tertib, saya percaya rakyat akan kembali menghormati Pak Lah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,'' kata bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi blognya, www.drkhir.com.
Menurutnya, dalam pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu menyuarakan pendapat akan terus meluahkan perasaan bimbangnya terhadap masa depan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin Abdullah.
"Tun telah hilang keyakinan terhadap kewibawaan Pak Lah. Sebagai bekas Perdana Menteri yang melantik Pak Lah, Tun berpendapat adalah tanggungjawab dan kewajipan beliau untuk kembali membetulkan kepimpinan UMNO hari ini," ujarnya.
Oleh itu, tegasnya, sebagai pemimpin UMNO, beliau dan ketua-ketua UMNO bahagian lain yang dilatih untuk menghormati pemimpin, permintaan kepada Perdana Menteri untuk meletak jawatan secara terbuka adalah langkah terakhir yang terpaksa dilakukan.
"Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami," katanya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, pemimpin-pemimpin UMNO memahami kehendak rakyat seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, jelasnya, mereka menghadapi kepayahan untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan sebagai memikul tanggungjawab atas kekalahan tersebut.
"Tidak benar untuk mengatakan pemimpin UMNO tidak faham dengan mood orang ramai, lebih-lebih lagi berdasarkan isyarat jelas keputusan pilihan raya lalu," katanya.
"Ini terbukti apabila ramai pemimpin UMNO mula bersuara secara terbuka mahu pun hadir dalam program Tun Dr. Mahathir," katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, pemusatan kuasa Presiden dan sistem kuota dalam UMNO perlu dilihat semula dengan memberi kebebasan kepada ahli memilih pemimpin tanpa sekatan atau dengan jumlah kuota minimum.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kemasukan ahli UMNO dan yuran keahlian dilakukan secara terus atau melalui Internet bagi mengelak kekangan pemimpin tertentu.
Beliau juga mencadangkan agar UMNO mendengar pandangan akar umbi daripada pemotong rumput sehingga kepada ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi.
"UMNO tiada pilihan lain kecuali berani berubah mengikut kehendak orang Melayu dan rakyat Malaysia," jelasnya.
-- UM, 15/04/08.

Tiada ulasan: