29 Mei 2008

Akar umbi Umno mahu kaji selidik sokongan kepada pemimpin, kata Mukhriz

TEMERLOH: Ahli Umno peringkat akar umbi mahu satu kaji selidik dilakukan berhubung sokongan kepada kepemimpinan parti itu sekarang, kata Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Katanya, kajian itu boleh dilakukan dengan mengedar borang khas kepada ahli bagi membolehkan mereka menyatakan pendirian sebenar sama ada menyokong kepimpinan sekarang atau sebaliknya.
"Mungkin ramai ahli Umno yang ingin meluahkan perasaan mereka tetapi malangnya hak mereka itu dinafikan oleh pemimpin yang lebih mementingkan kedudukan mereka, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan anggota Pemuda Umno Kuala Krau, dekat sini, malam tadi.
Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata beliau sudah bertemu dengan beberapa anggota Umno yang mula melahirkan rasa bosan kerana suara mereka sering dinafikan dan mereka mengambil sikap tidak lagi mahu bergerak aktif dalam parti.
"Tindakan ahli yang tidak puas hati memprotes secara diam lebih bahaya daripada menyuarakan pandangan kepada parti, katanya.
Mukhriz berkata anggota bawahan turut mencadangkan agar mereka diberi peluang mengundi pada pemilihan parti akan datang.
"Proses pemilihan sekarang sudah tidak lagi sesuai kerana wakil mereka boleh dibeli dan akhirnya mengkhianati kehendak ahli akar umbi, katanya.
- Bernama, 29/05/08.

Tiada ulasan: