
KUALA KANGSAR 3 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin masih mentah dan tidak faham Perlembagaan negara apabila membuat keputusan menukarkan serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Mohammad Nizar baru memegang jawatan menteri besar dan mungkin masih tidak faham undang-undang serta adat istiadat negeri yang meletakkan sultan sebagai ketua agama Islam negeri.
‘‘Saya rasa dia mungkin baru. Baru menjadi menteri besar dan tidak memahami dengan adat-istiadat sehingga melakukan sesuatu tindakan tanpa mendapat perkenan sultan.
‘‘Jadi, apa yang dibuat dan dititahkan oleh baginda sultan adalah tepat dan betul,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Program Kem Kesihatan Mencegah Kanser Serviks dan Payu Dara di Klinik Kesihatan Sauk, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mohammad Nizar mengarahkan pertukaran serta merta Pengarah JAIP tanpa mendapat perkenan Sultan Perak pada Selasa lepas.
Bagaimanapun, semalam, Sultan Azlan menitahkan pertukaran Jamry ditarik balik dan menyifatkan tindakan Menteri Besar Perak sebagai membelakangkan Sultan Perak dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah.
Menurut Mohamed Nazri, tindakan Mohammad Nizar juga salah kerana tidak memberi peluang kepada Jamry untuk tunjuk sebab dan membela diri sebelum dijatuhkan hukuman.
‘‘Tindakan Menteri Besar Perak menukar Jamry tidak mengikut peraturan biasa dan ia tidak mencerminkan amalan seseorang yang mengetahui adat-istiadat dan Perlembagaan negara.
‘‘Malaysia adalah negara yang mempunyai sistem pemerintahan unik dengan institusi Raja Berperlembagaan dan kita mewarisi sistem berkenaan sekian lama dengan soal agama Islam dan adat-istiadat Melayu di bawah kuasa sultan,” katanya.
Beliau berkata, apa juga tindakan dan keputusan berhubung perkara berkenaan perlu mendapat perkenan daripada sultan terlebih dahulu.
-- MM, 04/05/08.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan