IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan menyerahkan watikah memohon ampun secepat mungkin atas tindakan beliau mengarahkan pertukaran dengan serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip).
Mohammad Nizar berkata, beliau amat menghormati titah Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu.Saya amat menghormati dan dengan rendah diri akan sentiasa patuh dengan apa juga keputusan yang dibuat baginda Sultan Perak. Saya akan memohon menghadap dan menyerahkan watikah memohon ampun kepada baginda secepat mungkin, katanya kepada Bernama menerusi kenyataan di sini, semalam.
Sementara itu, Datuk Jamry Sury ketika dihubungi, berkata beliau belum menerima sebarang keputusan daripada kerajaan campuran negeri Perak mengenai kedudukannya sebagai Pengarah Jaip berikutan titah Sultan Azlan Shah kelmarin yang mahukan beliau mengekalkan jawatannya.Jamry, yang dijangka menghadap Sultan Azlan Shah pada Selasa ini mengenai perkara itu, berkata:
Setakat ini saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas mendapat nasihat daripada pihak istana dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Saya amat menghormati titah Sultan Perak (kelmarin). Setakat ini keputusan belum pasti lagi dan belum ada apa-apa lagi, katanya.
Jamry, bertugas sebagai Pengarah Jaip sejak 2004, diarah bertukar dengan serta-merta ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas oleh Mohammad Nizar pada 29 April kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.
Kelmarin, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik serta-merta arahan pertukaran itu yang dibuat Selasa lalu.
Di KUALA KANGSAR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan Mohammad Nizar masih mentah dan tidak faham dengan perlembagaan negara sehingga mengabaikan Sultan Perak ketika membuat keputusan membabitkan agama Islam dan adat istiadat Melayu negeri itu.
BH, 04/05/08.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan