4 Mei 2008

Perkukuh kembali kuasa raja

JOHOR BAHRU 3 Mei – Kongres Permuafakatan Melayu diminta menggerakkan usaha ke arah memperkukuhkan kembali kuasa raja-raja Melayu supaya kedaulatan dan kekuasaan orang Melayu sentiasa terjamin.
Para peserta kongres tidak mahu raja-raja Melayu hanya sekadar menjadi simbol sebaliknya mereka mahu institusi raja berada dalam kedudukan untuk menjadi penjaga kelangsungan politik Melayu.
Ada yang berpendapat kuasa raja-raja yang pernah dikurangkan pada suatu ketika dahulu perlu dikembalikan.
Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Rosdi Amir berkata, kuasa raja-raja Melayu perlu diperkukuhkan kembali memandangkan kekuasaan mereka kini semakin lemah.
Beliau yakin jika kuasa raja-raja Melayu dikembalikan dan diperkuatkan, institusi itu tidak akan mencampuri urusan kerajaan sebaliknya mereka berada di satu kedudukan yang mampu memantau kelangsungan hak-hak Melayu dengan lebih baik dan berkesan.
Sebagai contoh katanya, pada masa ini, sebarang perubahan Perlembagaan negara umpamanya, jika tidak dipersetujui raja-raja Melayu masih boleh dikuatkuasakan selepas 60 hari ia diluluskan.
“Kalau Perlembagaan negeri pun boleh diubah seperti itu, mungkin pada masa akan datang kita tidak boleh lihat raja-raja Melayu campur tangan meminta Menteri Besar Melayu dilantik seperti yang berlaku di Perak baru-baru ini.
“Pada pilihan raya umum akan datang, mungkin lebih ramai ahli Parlimen pembangkang terdiri daripada bukan Melayu menang dan mereka boleh meminda Perlembagaan dengan tidak memberikan kuasa kepada raja-raja Melayu untuk melantik Menteri Besar.
‘‘Kalau raja-raja Melayu tidak setuju pun, tetapi sudah diluluskan di Dewan Undangan Negeri, ia tetap akan efektif selepas 60 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan kertas kerja Kedaulatan Politik Melayu pada Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas itu Rosdi berkata, senario pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu memperlihatkan betapa pentingnya kuasa raja-raja Melayu diperkukuhkan.
Kata beliau, bila tiba waktunya nanti, kuasa yang dimiliki raja-raja Melayu dapat digunakan untuk menjaga kebajikan dan hak orang Melayu di negara ini.
Menurutnya, senario ini sudah berlaku di negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang majoriti bukan Melayu selepas pilihan raya lalu, yang mana segala harapan menjaga kedaulatan kuasa Melayu terpaksa diletakkan di bahu raja-rajanya kerana Kerajaan Persekutuan tidak mampu campur tangan.
Sementara itu, pakar sejarah negara, Prof. Datuk Ramlah Adam turut mengakui institusi raja pada masa ini berada dalam keadaan yang tidak kukuh seperti dahulu.
Menurutnya, perubahan pada Perlembagaan negara memerlukan dua pertiga persetujuan ahli Parlimen dan pada masa ini kedudukan kuasa Melayu dalam Parlimen tanpa mengira parti hanyalah majoriti mudah iaitu 124 orang sahaja.
“Perpecahan Melayu pada masa ini sangat ketara, dikhuatiri kuasa raja-raja Melayu juga boleh tergugat akibat kelemahan kuasa politik Melayu,” katanya.
Justeru, raja-raja Melayu adalah paksi yang perlu dipertahankan.
-- UM, 04/05/08

Tiada ulasan: