15 Mei 2008

Peluang kedua kepada usahawan gagal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperkenalkan Skim Peluang Kedua bagi memberi peluang kepada usahawan yang pernah gagal membangunkan semula perniagaan mereka.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata peluang kedua ini hanya dberi kepada usahawan yang gagal disebabkan oleh faktor luaran, dan bukan disebabkan oleh kesilapan diri sendiri seperti salah guna wang atau kelemahan pengurusan.
Katanya peluang itu juga terbuka kepada usahawan dalam bidang pertanian yang ternakan mereka terjejas disebabkan penyakit serta kalangan subkontraktor yang tidak mendapat bayaran daripada kontraktor selepas selesai menjalankan tugas mereka.
“Kalau tidak ada pendapatan yang masuk dalam tempoh tak bela ayam (umpamanya), macam mana nak bayar hutang. Satu lagi, kalau subkontraktor, mereka juga tak dapat bayar hutang kepada agensi kerajaan jika mereka sendiri tidak dibayar.
“Jadi, kita tidak boleh terus memaksa mereka membayar hutang dan akhirnya kita bankrapkan mereka. Sebaliknya, kita kena tolong dengan cara sama ada memberi pendahuluan semula atau tambah pinjaman,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Noh berkata bagi menjayakan program itu pegawai berkaitan dari kementerian diarah turun padang untuk menyiasat kedudukan dan punca sebenar kegagalan usahawan yang terbabit sebelum mereka diberi bantuan menerusi skim itu.
Selain usahawan yang gagal, graduan yang disenarai hitam kerana tidak membayar pinjaman pendidikan juga diberi peluang mendapatkan pinjaman dan menjadi usahawan.
“Kementerian tidak akan ambil kira kerana mereka ’blacklist’. Kalau kita tak bagi peluang mereka berniaga, macam mana mereka nak bayar hutang pinjaman,” katanya.
- Bernama, 15/05/08.

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Tahniah kepada Noh Omar! Tetapi kami berharap ini bukan sekadar gula-gula orang politik sekadar menyedapkan usahawan yang pernah gagal semasa krisis ekonomi pada tahun 1997 lepas.