1 Jun 2008

Ahmad tunggu keputusan PM

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Ahli UMNO Terengganu perlu menunggu keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh melepaskan jawatan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman Abdullah berhubung pelantikan itu kerana beliau yang berhak menentukannya.
"Kita tunggu sajalah keputusan Presiden. Beliau akan datang ke sini pada 9 Jun ini bagi menutup Sukan Malaysia (Sukma) ke-12," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkampungan Sukan dan Menaikkan Bendera Sukma ke-12 di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus Kusza di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Idris meletakkan jawatan itu empat hari lalu.
Idris meletakkan jawatannya atas alasan ingin mengukuhkan perpaduan parti di negeri ini.
Ahmad berkata, beliau tidak perlu berjumpa dengan Abdullah berhubung perkara berkenaan kerana semua keputusan berhubung pelantikan itu tidak memerlukan pandangannya.
Ditanya sama ada beliau merupakan calon terdekat untuk mengisi jawatan tersebut, Ahmad menjelaskan, dalam tradisi parti, seseorang yang memegang jawatan Menteri Besar juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
''Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk melantik calon yang akan mengisi jawatan tersebut," ujarnya.
Menurutnya, sebarang keputusan menggantikan Idris perlu diterima oleh ahli parti bagi mengelakkan perpecahan.
- MM, 1 Jun 2008.

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Sabarlah Mat. Memang hak mung gak jawatan tu. Kalau Pak Lah nak lantik orang lain, mung bagitau Sultan Mizan pulak. Bereh boh... bereh belako. Mung nak gapo, royat je kat istana.