1 Jun 2008

Seperti kisah dongeng - Dr. M

PETALING JAYA 31 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan UMNO supaya berhati-hati dengan tindakan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor yang menyertai semula parti itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan Mohamad Ezam itu ibarat melompat parti dan mempunyai persamaan dengan cerita dongeng barat 'putera katak'.
Katanya, Mohamad Ezam bukan sahaja melompat parti demi kepentingan dirinya sendiri, tetapi mungkin dijadikan batu loncatan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk semula UMNO.
Menurutnya, memandangkan sikap Mohamad Ezam yang sering melompat parti, ia amat bahaya untuk UMNO.
"Saya mengambil petikan kata-kata Pengerusi Sekretariat Perhubungan Media Pemuda UMNO, Datuk Sazmi Miah yang menceritakan mengenai sebuah kisah dongeng barat iaitu putera katak, katak itu apabila dicium akan bertukar jadi putera.
"Oleh itu, ada kemungkinan orang yang lompat parti akan lompat seperti katak sekali lagi,'' katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di hadapan lebih 500 penduduk Petaling Jaya pada majlis yang dinamakan Suntikan Semangat Satria Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Turut hadir Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Ruhanie Ahmad dan Sazmi.
Dr. Mahathir turut memberi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak memasuki parti pembangkang jika keluar parti kerana lebih baik mereka menjadi ahli bebas daripada menyertai pembangkang.
PilihanTerdahulu dalam ucapan beliau, Dr. Mahathir turut meletakkan sandaran kepada empat calon yang dianggap paling layak mengambil alih tempat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Sementara itu, Dr. Mahathir memberitahu beliau tidak akan menyertai mana-mana parti atau menubuhkan parti baru selepas dua minggu keluar daripada UMNO.
Tegasnya, beliau sudah dua kali keluar daripada UMNO yang mana ia membuktikan dirinya tidak serik untuk menyertai parti itu.
"Cukuplah (tidak perlu masuk mana-mana parti atau tubuh baru), saya sudah ada platform saya sendiri iaitu sebagai bekas Perdana Menteri yang pernah memegang jawatan itu selama 22 tahun. Mana ada Perdana Menteri di negara ini yang pernah memerintah selama 22 tahun?
''Walaupun keluar daripada UMNO, tetapi pada saya UMNO tetap tidak mati dalam hati saya. Kalau orang tak mahu saya, tak apalah,'' katanya.
Ditanya mengenai gesaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam yang mahukan anak lelakinya, Datuk Mokhzani supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Dr. Mahathir berkata, ia terletak kepada kehendak Ismail.
Katanya, menteri berkenaan boleh keluarkan Mokhzani daripada SIC jika beliau berhasrat untuk berbuat demikian.
Mengenai seorang lagi anaknya yang akan diambil tindakan tatatertib oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana lantang bersuara, beliau memberitahu, ia terpulang kepada pemimpin tertinggi untuk membuat keputusan.
- MM, 1 Jun 2008.

Tiada ulasan: