13 Ogos 2008

Jangan kacau UiTM: Naib Canselor

SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak mencampuri dan mengacau pentadbiran pusat pengajian tinggi itu.
Dalam nada keras beliau berkata, Abdul Khalid boleh menggunakan Universiti Industri Selangor (Unisel), kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain jika mahu menolong golongan bukan Bumiputera tetapi jangan kacau UiTM.
"UiTM adalah satu-satunya institusi terakhir bagi orang Melayu untuk mengubah nasib mereka menerusi pendidikan dan tidak ada sebab mengapa ada pihak cuba mencampuri atau mengacau pentadbirannya selama ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Khalid pada Ahad lalu supaya 10 peratus kuota kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing, adalah berunsur politik semata-mata.
Dr Ibrahim berpendapat, Menteri Besar Selangor menggunakan isu itu bagi meraih sokongan orang bukan Melayu, seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat baik dan hendak menolong golongan berkenaan yang mungkin tidak faham mengenai penubuhan UiTM.
“UiTM adalah salah satu daripada hak istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Canselornya ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri.
“Apa yang pelik ialah isu pembukaan (kemasukan) ke institusi pengajian untuk Bumiputera ini kepada bangsa asing dibangkitkan oleh seorang Melayu sendiri, bukannya bangsa asing,” katanya.
- Bernama, 12/08/08.

Tiada ulasan: