12 Ogos 2008

UiTM: Syor tidak masuk akal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Bekas-bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan cadangan supaya 10 peratus kuota kemasukan ke universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera dan pelajar asing sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak wajar diberikan pertimbangan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed menegaskan, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana matlamat asal penubuhan universiti itu adalah untuk membantu masyarakat Melayu dan bumiputera bagi mendapatkan pendidikan.
''Cadangan tersebut tidak masuk akal dan tidak perlu diperbincangkan kerana sudah jelas UiTM ditubuhkan untuk masyarakat Melayu dan bumiputera,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.
Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Mohd. Zin yang juga anggota alumni UiTM menjelaskan, alasan untuk mewujudkan persaingan di kalangan pelajar adalah tidak berasas kerana lepasan universiti itu berkualiti dan mampu bersaing secara kompetitif.
''Saya merupakan antara produk keluaran UiTM dan banyak lagi produk keluarannya yang berkualiti, jadi alasan mewujudkan persaingan tidak relevan,'' tegasnya.
Sementara itu, Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Profesor Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, cadangan itu tidak wajar kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan golongan profesional bumiputera dan bukan bumiputera pada masa akan datang.
Hamdan menjelaskan, cadangan Abdul Khalid itu bakal memberikan masalah kepada negara kerana ia akan menyekat pertumbuhan golongan profesional di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.
''Asas penubuhan UiTM adalah untuk memberikan pendidikan tinggi kepada masyarakat Melayu dan bumiputera bagi memperbaiki kehidupan mereka.
''Kajian membuktikan jurang perbezaan golongan profesional bumiputera dan bukan bumiputera adalah tinggi, sekiranya cadangan itu diterima, kita akan terus ketinggalan,'' tegasnya.
Beliau yang juga bekas pelajar UiTM menyeru supaya keutamaan diberikan kepada masyarakat Melayu dan peribumi Malaysia kerana universiti tersebut adalah sebahagian daripada hak mereka di negara ini.
- UM, 12/08/08.

Tiada ulasan: