1 Ogos 2008

Pas tolak tawaran kerjasama UMNO

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADdan MOHD. NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 31 Julai – Pas hari ini membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat Pusat atau negeri.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun rancangan Pas untuk mengadakan pertemuan dengan semua pihak termasuk UMNO demi kepentingan negara dan ummah akan tetap diteruskan.
Menurutnya, Pas juga tetap berpendirian untuk kekal berada di dalam pakatan pembangkang dengan memainkan peranan yang lebih aktif dan positif selaras matlamat perjuangan untuk menukar kerajaan sedia ada.
‘‘Sehubungan ini, sebarang tawaran daripada UMNO untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat sama ada Pusat atau negeri tidak lagi berbangkit,’’ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di ibu pejabat parti itu di sini.
Mesyuarat selama lima jam itu dihadiri oleh lebih 50 pemimpin tertinggi Pas termasuk ahli Majlis Syura Ulama yang diketuai Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Keputusan itu adalah reaksi kepada tawaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali kepada Pas untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan baru di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam.
Menurut Mohd. Tajol Rosli, negeri itu boleh menjadi medan terbaik untuk Pas dan UMNO memulakan kerjasama memandangkan penduduk Perak terdiri daripada pelbagai kaum berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, usaha untuk bertemu dengan pelbagai pihak termasuk UMNO akan berjalan seperti dirancang tanpa mengira bentuk perkataan yang digunakan.
‘‘Saya sebut pertemuan ini secara umum, nama itu buatlah nak buat apa (muqabalah atau muzakarah). Kita akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak dan bukan sahaja dengan UMNO.
‘‘Kita mahu bertemu dengan semua parti politik terutama yang bukan berada di dalam pakatan rakyat. Kita juga mahu bertemu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan inilah amalan Pas sejak dahulu sehingga ke hari ini,’’ jelasnya.
Beliau turut mempelawa Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Pas atau parti rakan pakatan yang lain dalam usaha membuat perubahan politik di negara ini.
Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada pemimpin parti yang mengadakan pertemuan secara sulit khususnya dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, setiap pertemuan akan dimaklumkan kepada parti.
‘‘Tidak ada sulit lagi. Setiap kali pertemuan kita maklumkan kepada parti dan inilah pendekatan yang selama ini kita gunakan,’’ katanya.
Berhubung kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, kes tersebut perlu diadili mengikut undang-undang syariah seperti diperuntukkan di bawah peruntukan 121 (a) (1) iaitu kes berkait dengan orang Islam hendaklah dirujuk kepada mahkamah syariah.
‘‘Inilah jalan yang terbaik dan sekiranya perlu dibuat perubahan, UMNO perlu melakukannya. Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan,’’ tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pas akan tetap membela sesiapa sahaja yang dizalimi termasuk Anwar.
‘‘Kaedah perundangan Islam jelas iaitu orang yang dituduh adalah tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah oleh undang-undang,’’ tambahnya.
- UM, 01/08/08.

Tiada ulasan: