1 Ogos 2008

Peluang terbaik BN rampas Permatang Pauh – Muhyiddin

01/08/2008 4:43pm
MUAR 1 Ogos – Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan tidak lama lagi merupakan peluang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) merampas kerusi itu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan raya kecil itu juga memberi peluang meraih semula sokongan rakyat, khususnya pengundi kawasan berkenaan untuk memilih BN demi kemajuan dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan.
Beliau percaya, pengundi di kawasan tersebut tidak akan termakan dengan helah dan taktik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tentunya menjadikan tempoh berkempen itu untuk mendapat sokongan rakyat dalam isu tuduhan liwat yang dihadapinya.
``BN sememangnya sudah menjangkakan dari dulu perkara ini akan berlaku (pengunduran Wan Azizah) dan agak malang bagi penduduk Permatang Pauh kerana baru sahaja selesai pilihan raya umum, mereka perlu menghadapi satu lagi pilihan raya.
``Apa pun, itu adalah hak beliau dan ini peluang terbaik bagi BN untuk meyakinkan semula pengundi di Permatang Pauh bahawa pilihan mereka yang terbaik adalah parti ini.
``Pilihan raya kecil ini juga akan menjadi kancah yang hebat dan mungkin Anwar akan menggunakan ruang ini untuk memutarbelitkan perkara yang berhubung kait dengan peribadinya, apatah lagi kes yang dihadapinya masih belum bermula," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja pembinaan Kompleks Pusat Bimbingan Usahawan Tani di Pagoh dekat sini hari ini.
- Utusan.

Tiada ulasan: