11 Oktober 2008

Anggota Umno Diingat Tolak Pemimpin Guna Politik Wang, Kata Idris Jusoh

October 11, 2008
BESUT, 11 Okt (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh mengingatkan anggota Umno supaya sentiasa berwaspada dan menolak mereka yang menggunakan wang bagi merebut jawatan pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata jika ramai pemimpin Umno dipilih dengan cara sedemkian, lambat laun ia akan hanya memusnahkan parti.
Sambil menyifatkan golongan berkenaan sebagai pemimpin "munafik", beliau berkata Umno tidak akan dilihat relevan jika mereka tidak berubah dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.
"Jika Umno mempunyai pemimpin yang tidak bertanggungjawab, rakyat sendiri akan bertindak membuat perubahan dengan menolak Umno," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut di sini hari ini.
Idris berkata dalam keadaan politik sekarang Umno perlu berdepan cabaran dengan membuat perubahan dan bersikap terbuka, seperti yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mac tahun depan.Beliau berkata rakyat menghargai sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri, yang menjalankan tugas dengan ikhlas dan bertanggungjawab.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: