11 Oktober 2008

Najib, Muhyiddin dapat pencalonan satu lagi bahagian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima satu lagi pencalonan daripada Umno bahagian Besut, Terengganu yang bersidang hari ini untuk masing-masing bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti, Mac depan.
Semalam kedua-dua mereka mendapat dua pencalonan setiap seorang daripada Umno Bahagian Machang, Kelantan dan Kimanis, Sabah.
Mesyuarat Umno Bahagian Besut hari ini adalah bahagian ketiga daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang mengadakan mesyuarat perwakilan mereka
Umno Bahagian Besut turut mencalonkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal untuk jawatan Naib Presiden Umno.
Dengan pencalonan itu, Hishammuddin kini mendapat tiga pencalonan, Khaled (2)dan Shafie (1).
Selain mereka, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar turut mendapat satu pencalonan setiap seorang untuk merebut jawatan Naib Presiden Umno.
Sementara itu Umno bahagian Tumpat yang dijadualkan bermesyuarat hari ini menangguhkan mesyuarat itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Setiausaha bahagian, Ariffin Ismail ketika dihubungi di Kota Bharu berkata penangguhan dibuat kerana jawatan kuasa bahagian itu tidak sempat untuk membuat persediaan kerana mereka terpaksa menjadi pemerhati kepada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Machang yang diadakan semalam.
Beliau berkata, surat penangguhan mesyuarat telah dikeluarkan Ahad lalu dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat bagi menetapkan tarikh baru persidangan perwakilan bahagian itu.
Esok, 25 bahagian Umno dijangka mengadakan mesyuarat perwakilan, termasuk Bahagian Umno Pagoh yang diketuai Muhyiddin.
Sekurang-kurangnya 58 pencalonan diperlukan untuk layak bertanding jawatan presiden parti, 38 pencalonan untuk jawatan timbalan presiden dan 19 pencalonan untuk jawatan naib presiden.
Sementara itu bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sehingga jam 7 malam ini, Exco Pemuda Datuk Mukhriz Mahathir mendahului dengan mendapat 19 pencalonan, Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin (9 pencalonan) dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (6 pencalonan) setelah 34 daripada 191 bahagian Pemuda Umno bermesyuarat sejak Khamis lalu.
Bagi jawatan Ketua Pergerakan Puteri Umno, setakat ini Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mendahului dengan mendapat 14 pencalonan dengan enam pencalonan baru hari ini dari bahagian Taiping, Semporna, Kota Belud, Libaran, Kota Kinabalu dan Bachok.
Ketua Penerangan pergerakan itu Datuk Shahaniza Shamsuddin pula mendapat 11 pencalonan, Setiausaha pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid (4 pencalonan) dan Exconya Datin Ismalina Ismail ( 2 pencalonan).
Setakat ini 32 bahagian pergerakan itu telah mengadakan mesyuarat, bagaimanapun hari ini mesyuarat pergerakan Puteri Bahagian Sandakan diumumkan tidak sah.
Ketua Umno bahagian Sandakan, Datuk Ampong Puyung dalam satu kenyataan hari ini berkata keadaan itu berlaku disebabkan beberapa masalah teknikal, termasuk tidak mendapat kelulusan untuk mengadakan mesyuarat daripada bahagian.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz menerima 25 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya, sementara naib ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menerima 24 pencalonan untuk mempertahankan jawatan naib ketua.
Shahrizat juga turut dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu oleh lima bahagian termasuk empat bahagian hari ini iaitu Teluk Kemang, Kinabatangan, Kalabakan dan Bukit Gelugor.
Semalam hanya bahagian Beruas mencalonkan beliau ke jawatan itu.
Sementara Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said menerima dua pencalonan sebagai Naib Ketua, termasuk yang terbaru dari Teluk Kemang hari ini.
Exco pergerakan itu Datuk Kamilah Ibrahim turut dicalonkan oleh bahagian Bukit Gelugor hari ini untuk jawatan Naib Ketua Wanita.
Sehingga hari ini 30 daripada 191 bahagian Wanita Umno sudah mengadakan mesyuarat perwakilan mereka.
- Bernama

Tiada ulasan: