13 Oktober 2008

Mara diarah hapuskan kerenah birokrasi

KUALA TERENGGANU 12 Okt. - Semua pegawai dan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diminta menghapuskan kerenah birokrasi dalam memastikan proses penyaluran pinjaman kepada golongan bumiputera dapat dipercepatkan.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) berkata, kaedah pengurusan terbaik seharusnya dibentuk bagi memastikan semua permasalahan yang berlaku di agensi itu dapat dirungkai sebaik mungkin.
''Harapan saya agar semua kes termasuk kerenah birokrasi yang berlaku dapat diatasi bagi memastikan golongan bumiputera mendapat pembelaan," katanya selepas majlis Konvokesyen Ke-11 Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut di di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar semalam yang kecewa dengan kelewatan pengurusan Mara menyalurkan pinjaman.
Menurut Noh, beliau tidak faham kenapa masih ramai pemohon yang mengadu tentang kelambatan kelulusan pinjaman di ibu pejabat sedangkan kuasa telahpun diturunkan kepada Pegawai Mara Daerah untuk meluluskan pinjaman di bawah RM20,000.
Idris seterusnya mengakui sebagai sebuah organisasi, Mara tidak dapat lari daripada masalah tetapi yakin segala apa yang berlaku akan dapat diatasi selaras dengan tuntutan semasa.
Katanya, agensi itu tidak seharusnya merasa selesa dengan keadaan dan persekitaran yang lalu kerana keadaan kini sudah mengalami perubahan.
''Kita sememangnya berazam untuk menjadikan Mara sebagai satu agensi yang terbaik antara yang terbaik bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa.
''Dalam hal ini saya sebenarnya sudah menilai banyak aspek, segala masalah yang berlaku dikaji mengapa ia berlaku dan penyelesaian dicari bagi memastikan ia tidak berulang," katanya.
Idris menegaskan, beliau bersedia menerima kritikan secara jujur dan ikhlas dalam membangun dan meletakkan Mara pada tahap yang betul ke arah memastikan ia menjadi organisasi terulung.
Ditanya mengenai beberapa kekurangan yang dialami Kolej Polytech Mara, sebuah institusi pengajian tinggi tajaan Mara, beliau mengakui ia sememangnya dalam perhatian dan berusaha membaikinya dari semasa ke semasa.
Katanya, segala kekurangan termasuk asrama dan pusat pembelajaran yang tidak selesa akan dibaiki. Ini semua dalam perhatian dan perkara yang serupa dipastikan tidak berlaku pada masa depan.
- Utusan, 12/10/08

Tiada ulasan: