13 Oktober 2008

Forum Utusan: Minta Muhammad, Ali tarik diri

SESIAPA juga yang berfikir secara rasional akan membuat kesimpulan adalah membuang masa dan wang bagi Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan juga Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk terus bertanding menyaingi Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO yang secara automatik akan menjadikan orang yang berada pada kedudukan itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagi seorang lagi, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menjadi penulis tamu portal berita Malaysian Insider yang dijalankan oleh Kalimullah Hassan, bekas Ketua Pengarang NST dan rakan-rakannya, biarlah dia bertanding supaya dia akan dapat melihat baju yang sesuai bagi badannya selepas berakhir pertandingan.
Dalam membuat pemilihan kelak, saya percaya perwakilan UMNO akan membuktikan kepada dunia sekali lagi akan kematangan mereka sebagai anggota sebuah parti yang tua, berpengalaman dan mengutamakan kepentingan bangsa, agama dan negara lebih daripada segalanya.
Memang tidak dapat dinafikan dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO yang membuat pemilihan pucuk pimpinan, wang menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan calon. Tetapi terbukti juga bahawa sentimen dan ‘hutang wang’ telah memberikan laluan kepada kematangan dan kewarasan dalam menentukan pemilihan.
Dalam sebuah masyarakat demokrasi, permainan wang dalam pilihan raya adalah menafikan realiti kuasa. Pas dan Parti Keadilan belum berkuasa lama dan rakyat tidak akan meminta pada yang tiada. Namun, suatu masa mereka juga akan menghadapi masalah dan tekanan yang sama daripada ahli parti dan rakyat.
Keputusan yang tidak adil dan menimbulkan kesan kemarahan berpanjangan dan menjadi duri dalam daging ialah jika pucuk pimpinan membuat penekanan dalam menentukan ahli-ahli membuat pemilihan sendiri sehingga ke peringkat mencegah seseorang untuk bertanding.
Penampilan
Pada umumnya rakyat dan juga ahli UMNO sendiri melihat daripada tiga calon yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO (seorang lagi tidak perlu dimasukkan dalam perkiraan ini), Muhyiddin mempunyai kekuatan dan kelebihan yang sendiri.
Penampilannya sebagai tokoh yang berani menyuarakan hasrat akar umbi untuk peralihan kuasa yang lebih cepat telah mengangkat namanya ke puncak populariti sebagai pemimpin berani yang mengutamakan kepentingan Melayu dan negara.
Ini adalah kriteria yang tidak ada pada calon lain. Selain itu, beliau juga mempunyai status nasional dan antarabangsa yang dibuktikan menerusi kedudukannya sebagai Menteri Kabinet yang begitu lama dan juga kedudukan penting dalam pucuk pimpinan parti. Beliau tidak gagal dalam tugas yang diberikan kepadanya.
Ketokohan, keperibadian dan keupayaan intelek adalah juga kualitinya yang menyebabkan rakyat dan ahli UMNO lebih yakin kepadanya daripada orang lain. Kemampuan bahasa Inggerisnya yang amat diperlukan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi peranan antarabangsa adalah terbukti kepada umum dan tidak perlu dipersoalkan lagi.
Tan Sri Muhammad terlalu jelas kepada umum beliau ialah calon proksi selepas Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik diri.
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam adalah calon bebas tetapi lebih baik untuk masa depan Melaka jika beliau kekal sebagai Ketua Menteri untuk membawa negeri itu ke era baru sebagai sebuah bandar pelancongan utama yang terindah penuh bersejarah di Malaysia.
Saya yakin Datuk Seri Najib Tun Razak juga sebagai bakal Perdana Menteri tentulah lebih maklum kualiti yang diperlukan bagi seorang yang bakal membantunya sebagai Timbalan Perdana Menteri, iaitu seorang pemimpin yang berwibawa dengan daya intelek yang tinggi dan amat tajam.
Sebagai pemimpin yang teliti dalam tindakan dan membuat keputusan tentulah akan memakai arca pertimbangan yang sejalan dengan kecerdikan dan rasional rakyat yang mengutamakan kualiti kepemimpinan yang dapat menyumbang kepada kekuatan dan juga integriti bangsa, negara dan agama.
Demi kepentingan bangsa dan negara, saya dengan rasa penuh hormat memohon kepada Tan Sri Muhammad dan juga Datuk Ali Rustam supaya menarik diri daripada terus bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Perpaduan
Penarikan diri ini akan benar-benar membuktikan kepada parti dan rakyat bahawa mereka lebih mementingkan kekuatan parti, perpaduan orang Melayu dan kekuatan negara dengan memastikan sokongan yang jitu kepada pucuk kepimpinan.
Ini juga akan memudahkan Datuk Ali Rustam untuk bekerjasama dengan bakal Timbalan Perdana yang dapat diramalkan dari sekarang bagi mempercepatkan kemajuan negeri Melaka.
Bagi peringkat Naib Presiden UMNO hingga ke bawah biarlah wujud pertandingan tetapi pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden tanpa pertandingan atas kehendak ahli parti sendiri akan sekali gus memberikan kesan psikologi yang sangat efektif kepada perpaduan parti.
Gambaran ini amat diperlukan dalam keadaan UMNO menghadapi krisis keyakinan dan bangsa Melayu menghadapi cabaran terbesar sejak 50 tahun merdeka dari dalam dan luar negara.
TAN MELAKA
Kuala Lumpur

Tiada ulasan: