13 Oktober 2008

Mukhriz ada aura kejutan

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
JELEBU 12 Okt. - Keputusan luar jangka bagi pencalonan yang diterima oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kerana beliau dilihat sebagai calon 'bebas' yang tidak bergantung dengan sesiapa.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ia juga memperlihatkan suara hati generasi muda yang mahu melihat perubahan dalaman diperbaiki.
"'Saya melihat termasuklah di Jelebu, sokongan kepada Mukhriz agak di luar jangka. Ini sebenarnya akar umbi Pemuda mahukan perubahan drastik," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di sini hari ini.
Pada persidangan itu 119 perwakilan mencalonkan Mukhriz sebagai calon Ketua Pemuda dan lapan lagi mencalonkan Khairy Jamaludin.
Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu menjelaskan, ahli Pergerakan Pemuda UMNO kini mencari pemimpin yang bercirikan pejuang sebenar tanpa bersandarkan satu alasan besar.
''Alasan besar itu ialah kebergantungan kepada jawatan, keluarga atau jawatan saudara mara. Saya fikir Mukhriz ada aura itu," kata beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri.
Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol turut mencalonkan Mukhriz dengan jumlah pencalonan sebanyak 170 berbanding Khairy yang cuma memperoleh enam undi, sementara Pemuda UMNO Bahagian Rasah mencalonkan Mukhriz dengan jumlah undi sebanyak 70 berbanding 61 yang diberikan kepada Khairy.
''Saya melihat ini dari dekat dan merasakan bahangnya. Saya berharap sistem dan aura baru ini akan memberi kebaikan yang amat dimahukan oleh Pemuda UMNO dan parti ini keseluruhannya," kata Rais.
Mengenai tawaran beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Rais berkata: "Orang lama seperti Rais Yatim' tidak perlu lagi.
- Utusan, 12/10/08.

Tiada ulasan: