19 Oktober 2008

Kejohanan Piala Monsun tiada unsur rasuah: BPR

Oleh Abdul Razak (Raaffraaffar@bharian.com.my)

Semakan kertas siasatan dapati bebas kes penyelewengan
PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan tiada sebarang penyelewengan dan jenayah rasuah dikesan berhubung penganjuran kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata ia disahkan selepas beberapa kali semakan dan penelitian terhadap kertas siasatan kes berkenaan.
"Kita dapati tiada wujud kesalahan atau jenayah rasuah mengenai kejohanan kapal layar Piala Monsun di Terengganu selepas melakukan beberapa kali semakan. Bagi BPR memang sudah jelas tidak ada apa-apa...kita sudah buat yang terbaik.
"Kita perlu perjelaskan perkara ini dengan baik kerana ia boleh menjejaskan imej bukan saja Terengganu, malah Malaysia," katanya pada sidang media pada Majlis Gerak Mesra Aidilfitri anjuran agensi itu di sini semalam. Ahmad Said ditanya hasil siasatan BPR berhubung dakwaan wujud penyelewengan dalam penganjuran kejohanan itu. Isu itu dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini, termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada 27 Julai lalu ketika BPR menyiasat isu penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri itu yang mencecah RM1.07 juta sejak 2004.
Ahmad berkata, BPR perlu menyiasat penganjuran Piala Monsun sejak 2005 di lokasi yang dibina dengan kos RM250 juta dan pelaksanaan projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man yang bernilai RM249.3 juta, bukan hanya isu penyelenggaraan kereta rasmi kerajaan negeri.
Ogos lalu, BPR mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk Ahmad dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan pelaksanaan projek berkenaan.
Mengenai dakwaan penyelewengan pembelian helikopter Eurocopter EC725 bernilai lebih RM2 bilion bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ahmad Said berkata BPR juga akan melihat perkara itu."Jika perlanggaran jenayah rasuah, kita akan lihat dan siasat...sama seperti kes lain," katanya.
- BH, 19/10/08.

Tiada ulasan: