19 Oktober 2008

Muhyiddin terbaik - Nazri

Oleh Zaini Raban
KUALA KANGSAR 18 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin adalah calon terbaik menjadi Timbalan Presiden UMNO berbanding dua lagi calon yang menawarkan diri iaitu Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, faktor utama yang menjadikan Muhyiddin individu terbaik memegang jawatan berkenaan adalah kerana beliau merupakan satu-satunya calon yang merupakan seorang Ahli Parlimen.
''Kita kena ingat bahawa siapa yang bakal dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO bakal juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri malah boleh jadi Perdana Menteri kalau apa-apa berlaku kepada Perdana Menteri.
''Melihat kepada ketiga-tiga calon Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin seorang saja Ahli Parlimen manakala Ali Rustam cuma Ahli Dewan Undangan Negeri dan Mat Taib pula hanya Senator.
''Macam mana Ali Rustam dan Mat Taib hendak jadi Timbalan Perdana Menteri? Mereka tidak layak dan kalau hendak juga kita terpaksa berdepan dengan pilihan raya kecil, ia akan jadi masalah nanti," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri yang menang tanpa bertanding Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas berkata, Muhyiddin merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman luas dan cukup berkaliber.
Jelas beliau, selain pernah menjadi Menteri Besar Johor, Muhyiddin merupakan penyandang jawatan Naib Presiden UMNO selama tiga penggal dan menjadi menteri pelbagai portfolio selama hampir 20 tahun.
''Berdasarkan pengalamannya itu saya rasa Muhyiddin layak menjadi Timbalan Presiden UMNO malah saya yakin beliau boleh menjadi Perdana Menteri secara semula jadi pada masa akan datang," katanya.
Justeru, katanya, UMNO Bahagian Padang Rengas sebulat suara mencadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden manakala Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti.
Kata beliau, pihaknya juga mencadangkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Datuk Shafie Apdal selaku calon Naib Presiden.
- Utusan, 19/10/08.

Tiada ulasan: