11 Januari 2009

Emosi, riak dan perubahan

Apa yang boleh kita saksikan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Selasa lalu merupakan suatu suasana yang cukup berbeza.
Jika penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu disifatkan paling ganas dan menakutkan dalam sejarah negara, penamaan calon Kuala Terengganu pula dianggap paling lancar dan tenteram.
Awang mengucapkan tahniah kepada semua pihak meliputi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), polis dan parti-parti yang bertanding. Ternyata ia telah memecahkan batas psikologi banyak pihak bahawa adalah mustahil untuk melihat penamaan calon yang tenang, lebih-lebih lagi jika pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Ijok sebelum ini dijadikan kes rujukan.
Antara faktor yang menyumbang kepada perubahan suasana kali ini ialah langkah baru yang diperkenalkan oleh SPR termasuk menjarakkan kira- kira 100 meter posisi para penyokong parti yang bertanding.
Persoalannya apakah suasana tenang penamaan calon dapat diteruskan sepanjang tempoh kempen sehingga hari mengundi pada 17 Januari ini?
Untuk mengharapkan tiada langsung kejadian tidak diingini, adalah sukar tetapi ada banyak ruang untuk menyaksikan tahap keselamatan yang jauh lebih baik berbanding di Permatang Pauh.
Cuma yang nampaknya sukar berubah ialah kempen ceramah pembangkang yang masih suka membakar emosi rakyat dengan ucapan berapi-api. Soal perlunya fakta yang kukuh dan hujah bernas, tidak begitu penting. Soal sama ada apa yang disampaikan itu dakwaan dan persepsi liar, juga tidak mengapa.
Awang sempat menghadiri majlis ceramah para pemimpin utama pakatan pembangkang. Seorang demi seorang berucap tetapi nada sama – emosi lebih menonjol daripada rasional. Ada pemimpin Pas dalam ucapan mendakwa kononnya UMNO menolak Islam tetapi menganggap DAP adalah sahabat Islam. Awang hanya mampu menggeleng kepala.
Rasanya sebahagian yang hadir tidak lupa hakikat bahawa Malaysia telah diisytiharkan negara Islam beberapa tahun lalu selain Islam termaktub sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara di bawah inisiatif UMNO.
Sebahagian besar penyokong Pas yang mendengar ceramah itu juga sedar bahawa DAP sehingga hari ini masih kuat menentang usaha penubuhan negara Islam ala Pas.
Selain itu, dalam keghairahan para pemimpin Pas dan PKR berucap, kerap terhambur kata-kata seperti bodoh, dajal dan dungu. Ia jelas menampakkan riak dan meninggi diri sebahagian pemimpinnya yang suka memperlekehkan pemimpin UMNO . Mereka sahaja di pihak benar, pihak lain semuanya dituduh salah, jahat dan buruk.
Seorang pemimpin PKR pula terang-terang menyebut perkataan sial apabila menyentuh parti lawan dan dia masih boleh ketawa kecil. Janganlah mengharap mereka menjaga ketertiban berkata-kata di khalayak umum, yang merupakan antara asas kepada segala kebaikan. Ironinya, mereka melaung-laungkan perubahan untuk masyarakat dan negara. Mereka sendiri masih belum berubah.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
- Utusan, 11.01.09.

Tiada ulasan: