18 Februari 2009

Buktikan jika BN terbabit kes gambar: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mencabar pihak pembangkang supaya mengemukakan bukti terhadap dakwaan mereka bahawa Barisan Nasional (BN) terbabit dalam penyebaran gambar bogel Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat, Elizabeth Wong, baru-baru ini.
Sambil menegaskan BN tidak terlibat sama sekali dalam insiden itu, Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang sewajarnya tidak menuduh sembarangan jika tidak mempunyai bukti. "Tuduh apa... bukti siapa yang buat, saya tidak tahu menahu tentang hal ini tiba-tiba meletus dalam surat khabar.
"Kalau hendak menuduh kena keluarkan bukti, jangan cakap macam itu sahaja, jangan tuduh sewenang-wenangnya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet untuk Meliberalisasi Sektor Perkhidmatan di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Sebelum ini beberapa anggota PKR, termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa BN menjadi dalang dalam penyebaran gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu.
Berikutan penyebaran gambar itu, Wong, 37, menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Selangor serta Adun Bukit Lanjan.
- Bernama, 18/02/09.

Tiada ulasan: