17 Februari 2009

Elizabeth Wong Sedia Letak Jawatan

PETALING JAYA, 17 Feb (Bernama) -- Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet.
Beliau akan membincangkan soal penyerahan tugasnya itu dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, katanya pada satu sidang akhbar.
Khalid pula berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau akan memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapatkan nasihat baginda berhubung tawaran Wong untuk meletak jawatan.
Katanya beliau telah meminta Wong supaya bercuti bagi menenangkan fikiran.Wong, 37, yang merupakan pengerusi jawatankuasa pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar negeri, berkata terdapat pihak tertentu yang mahu mencemarkan nama baiknya.
Katanya beliau tidak melanggar sebarang undang-undang."Saya tak merasa malu hanya kerana saya tidak berkahwin," katanya.Wong, daripada Parti Keadilan Rakyat, berkata tawarannya untuk meletak jawatan adalah untuk kebaikan parti.
"Walaupun kempen memburukkan nama saya ini ditujukan kepada saya, tapi saya sedar matlamatnya adalah untuk memburukkan Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Wong telah membuat laporan di balai polis Damansara pada Ahad lepas.
Beberapa Anggota Parlimen pula dan menghormati hasrat Wong untuk meletak jawatan.
Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) menyifatkan keputusan itu merupakan satu tanggungjawab beliau untuk menyelamatkan parti manakala Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabantangan) berkata tindakan Wong harus diterima kerana beliau sudah memikirkan soal kepentingan rakyat setempat serta negeri Selangor khususnya.
"Saya bersimpati dengan apa yang menimpa beliau. Pada saya bukan itu yang dia mahu, namun ada pihak telah mengambil kesempatan di atas kelemahan beliau," katanya.
Yusmadi Mohd Yusof (PKR-Balik Pulau) menyifatkan keputusan Wong sebagai sesuatu yang rasional.
Dr Lo'lo Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) pula menyalahkan media berhubung penyebaran gambar bogel Wong.
"Media yang memperbesar-besarkan isu ini dan mendedahkan gambar-gambar sedemikian. Cukuplah, kita ada banyak agenda hendak dilakukan...nak menangani krisis ekonomi lagi, masalah rakyat...sepatutnya krisis sebegini tidak ditimbulkan, " katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu Bernama bahawa polis akan merakam keterangan Wong petang ini bagi mengenal pasti orang yang menyiarkan gambar bogelnya itu.
"Jika perlu polis akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi bagi menentukan kesahihan gambar-gambar itu," katanya.
Khalid berkata walaupun Wong telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan, polis akan menjalankan siasatan rapi dan tidak akan melengahkan siasatan.
"Peletakan jawatannya tidak akan menjejaskan siasatan polis," katanya.
Khalid berkata siasatan adalah masih di peringkat awal dan polis tidak dapat memberikan maklumat lebih lanjut.
-- BERNAMA, 17 Februari, 2009 15:26 PM

Tiada ulasan: