18 Februari 2009

Exco Selangor terkejut gambar bogelnya tersebar di internet


Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Ifwan Tun Tuah
choo@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping (gambar) terkejut apabila gambar dan video ketika beliau tidur dalam keadaan separuh bogel, disebarkan melalui internet.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal-Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan berusia 37 tahun itu mendakwa, gambar dan video berkenaan diambil oleh seseorang untuk memalu dan mencemarkan nama baiknya.“
Ini ialah serangan berniat jahat terhadap peribadi saya dan dilakukan oleh mereka yang keji. Saya menjadi mangsa dan sudah membuat laporan polis semalam (malam kelmarin).
Saya sedia memberi kerjasama penuh membantu siasatan, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Wong menegaskan, perbuatan itu jelas berniat untuk menceroboh kehidupan peribadinya tetapi beliau enggan membuat spekulasi terbuka mengenai siapa yang bertanggung jawab melakukan tindakan berkenaan.Gambar separuh bogel Wong dalam pelbagai posisi itu diambil ketika beliau tidur di atas sofa dipercayai di rumahnya.
Gambar dirakam oleh kamera telefon bimbit itu dikatakan tersebar menerusi internet sejak beberapa hari lalu.
Wong berkata, beliau hanya mengetahui mengenai kewujudan gambar dan video itu apabila dimaklumkan wartawan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris Jumaat lalu, yang mendakwa memiliki gambarnya dan akan menerbitkan berita mengenainya.
Malah, katanya, beliau juga diberitahu ada pihak cuba menyebarkan gambar serta rakaman video berkenaan.“
Malah, saya menerima banyak simpati daripada kawan, rakan sekerja dan masyarakat di kawasan saya dan berterima kasih terhadap keprihatinan mereka. Ahli keluarga juga berdiri teguh di belakang saya.“
Saya meminta media memberi ruang kepada kami untuk menghadapi cabaran besar ini. Dalam pada itu, saya akan terus melaksanakan tugas berkhidmat kepada rakyat Selangor,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan siasatan sudah dimulakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).“
Kita akan memanggil beberapa individu termasuk Wong, bekas teman lelakinya dan wartawan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar separuh bogel itu.“
Kita perlu mengambil keterangan semua pihak yang ada kaitan untuk mendapatkan gambaran jelas kerana polis pun belum melihat gambar yang didakwa separuh bogel itu.“Saya difahamkan gambar itu disebarkan melalui khidmat pesanan multimedia (MMS). Selagi kita belum melihat gambar itu, sukar untuk mengklasifikasikan siasatannya,”katanya pada sidang media di sini, semalam.?
Arjunaidi berkata, laporan polis yang dibuat Wong juga tidak lengkap kerana mangsa sendiri hanya diberitahu pihak ketiga bahawa gambarnya sedang tidur diedarkan, tetapi tidak menyebut dalam bentuk apa.
Sementara itu, sumber memberitahu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman turut menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu mengedar bahan lucah.
- BH, 17/02/09.

Tiada ulasan: