6 Februari 2009

Karpal Cemari Institusi Raja, Perlu Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri diminta mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh kerana mencemar institusi Raja Berpelembagaan negara ini apabila mengugut untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam isu pelantikan Menteri Besar yang baru.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali AlHabshee berkata seseorang itu tidak layak menjadi warga negara ini sekiranya bertindak sesuka hati mencemar institusi tertinggi di negara ini untuk kepentingan peribadi dan partinya.
"Tidak ada gunanya negara mempunyai rakyat yang tidak tahu menghormati Sultan sebagai ketua pemerintah dan dalam hal ini kerajaan tidak harus teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kebiadabannya itu," katanya kepada Bernama di sini.
Syed Ali mengulas kenyataan Karpal bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional jika melantik Menteri Besar daripada BN bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat.
Syed Ali berkata kenyataan Karpal kononnya tindakannya itu adalah untuk menjaga kepentingan rakyat Perak adalah satu pembohongan.
"Sebenarnya beliau hendak menjaga kepentingan DAP yang mempunyai 18 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak dan menguasai kerajaan negeri itu sungguhpun menteri besarnya ialah dari PAS," katanya.
Beliau meminta Mohammad Nizar serta semua anggota PAS dan PKR yang berbangsa Melayu dan beragama Islam supaya tidak terperangkap dengan mainan sandiwara DAP.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 18:53 PM

Tiada ulasan: