6 Februari 2009

Pakatan Rakyat Tidak Akan Saman Sultan Perak - Anwar

By: Ramjit
PETALING JAYA, 6 Feb (Bernama) -- Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak seperti yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh, kata pemimpin PR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata dakwaan menyaman Sultan Perak itu hanyalah menurut laporan media sahaja.
"Ini semua laporan media yang cakap kita nak saman Sultan Perak. Keputusan kita adalah untuk meminta Paduka Sultan Perak melihat semula peruntukan perlembagaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Satu laporan hari ini menyebut bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini.Anwar berkata Pakatan Rakyat berpendirian Mohammad Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri Perak.
Beliau mendakwa pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
"Kami berpendirian supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat bagi membolehkan rakyat membuat pemilihan semula," katanya.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 21:23 PM

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Apa punya cakap ni... kata pakatan rakyat konon, Datuk Seri cakap lain, Karpal pula cakap lain. Jangan dok bohong lah Nuar Brahim!
Politik pun nak main belakang juga ke bro?