6 Februari 2009

Tindakan Karpal Singh Sudah Diduga, Kata Rais

By: Ramjit
KUALA KLAWANG, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau sudah menduga tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlah Shah berhubung keputusan baginda menitahkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita sudah menduga tindakan saman menyaman ini kerana itu sudah menjadi budaya mereka (pembangkang). Jadi, kita jangan gentar dan perlu berhati-hati mengenai aspek perlembagaan dan perundangan dalam setiap tindakan yang diambil," katanya mengulas mengenai tindakan Pakatan Rakyat yang mahu memfailkan saman terhadap Sultan Azlan Shah, di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini dengan alasan baginda bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri pimpinan Mohammad Nizar.
Rais berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-14 Badan Kebajikan dan Pelajaran (Baka) Jelebu di Dewan Wisma Umno Jelebu, di sini, Jumaat.
Rais yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata dalam suasana kuasa raja ketika ini, penasihat perundangan Menteri Besar yang baru tidak mengabaikan aspek perlembagaan dan perundangan dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada dipertikai Pakatan Rakyat (PR) hingga membawanya ke mahkamah.
Karpal, dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, berkata Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional kerana pelucutan jawatan Mohammad Nizar oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 21:27 PM

Tiada ulasan: