18 Mac 2009

Lembaga Disiplin Umno Tiada Konspirasi Politik

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Lembaga Disiplin Umno hari ini menegaskan bahawa tidak timbul soal pilih kasih atau konspirasi politik dalam keputusan terhadap beberapa anggota Umno yang didapati bersalah di bawah etika parti.
Pengerusinya Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata Lembaga Disiplin mengambil perhatian serius terhadap pandangan umum mengenai perkara itu kerana terdapat tuduhan bahawa keputusan yang dibuat tidak tepat atau berupa konspirasi politik.
"Saya ingin menjelaskan bahawa semua keputusan yang dibuat adalah berasaskan bukti-bukti yang terdapat pada kes-kes yang dibicarakan, keterangan-keterangan yang diperolehi dalam masa penyiasatan dan pendengaran, bukannya berdasarkan tuduhan-tuduhan melulu ataupun "hearsay"," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata walaupun Lembaga Disiplin bukan sebuah mahkamah undang-undang, namun asas-asas keadilan sejagat dan hukuman berdasarkan fakta dan keterangan sentiasa menjadi pegangan ahli-ahlinya ketika membuat sesuatu keputusan."Justeru tidak timbul soal pilih kasih atau konspirasi politik seperti mana yang didakwa oleh setengah-setengah pihak," katanya.
Tengku Ahmad Rithauddeen berkata ahli-ahli Lembaga Disiplin Umno terdiri daripada tokoh-tokoh politik yang telah bersara dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau penglibatan dalam apa-apa pertandingan bagi apa-apa jua jawatan dalam parti.
"Mereka tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam membuat sesuatu keputusan termasuk daripada pihak atasan," katanya.Beliau juga berkata Lembaga Disiplin tidak mempunyai kuasa seperti yang terdapat pada pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang boleh memaksa saksi-saksi datang memberi keterangan.
Kerana itu, katanya kadang-kadang sesuatu kes tidak dapat diselesaikan secepat yang dikehendaki, sebaliknya sekiranya sesuatu kes itu diputuskan secara tergesa-gesa tanpa bukti yang mencukupi, Lembaga Disiplin akan berdepan dengan kecaman daripada anggota Umno dan orang ramai.
"Pendekatan Lembaga Disiplin sentiasa berada dalam keadaan serba salah. Dibuat salah, tak buatpun salah," kata beliau lagi.
-- BERNAMA, 18 Mac, 2009 20:47 PM

Tiada ulasan: