18 Mac 2009

Muhkriz Tidak Anggap Hukuman Terhadap Khairy Beri Kelebihan Kepadanya

By: Ramjit
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini tidak menganggap hukuman terhadap pencabarnya Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana terbabit dengan politik wang bakal memberikan kelebihan kepadanya.
Mukhriz, yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata jawatan itu akan tetap menyaksikan pertandingan walaupun Khairy serta seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah disiasat oleh Lembaga Disiplin.
Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tata Etika Ahli Umno oleh Lembaga Disiplin parti semalam kerana terlibat dengan politik wang dan diberikan amaran manakala Mohamad Khir tidak disabitkan kesalahan.
"Saya tidak fikir ianya satu kelebihan dalam kita bertanding kerana dalam mana-mana pertandingan biarlah ada orang yang bertanding... kerana sebagai "gentleman", saya rasa lebih elok seseorang itu menang dengan cara bertanding. Apa yang dilaporkan hari ini menjadi satu perkara yang diterima semua pihak dan saya tiada sebarang pendirian mengenai apa yang sudah berlaku.
"Kita akan buat seperti biasa sahaja untuk meyakinkan Pemuda terhadap apa yang hendak kita bawa dalam pergerakan ini iaitu masih tiga (persaingan tiga penjuru), tiada perubahan dalam hal itu," katanya pada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Rabu.
Mukhriz berkata beliau mengharapkan perwakilan khususnya golongan atas pagar dan masih belum membuat keputusan agar memberi pertimbangan sewajarnya dalam soal ini terutamanya menjelang saat-saat akhir pemilihan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mac hingga 28 Mac ini.
Beliau juga tidak pasti sama ada perkembangan terkini itu memberi kesan terhadap pemilihan parti tetapi beliau yakin perwakilan cukup matang untuk membuat keputusan dan menilai calon, sekali gus mencerminkan kehendak akar umbi.
Ditanya sama ada mungkin akan ada lagi calon yang didakwa dan dikaitkan dengan politik wang, beliau berkata, tidak mustahil perkara itu akan berlaku kerana lembaga menjalankan amanah parti.Ketika ditanya kemungkinan keputusan yang diumumkan semalam itu dipengaruhi pihak tertentu, Mukhriz berkata beliau percaya lembaga itu bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana pihak.
"Saya percaya lembaga membuat pertimbangan berdasarkan siasatan mendalam dan saya kira mereka lebih tahu daripada kita. Oleh itu saya tidak mempertikaikan apa yang diumumkan.
"Kita mahu rakyat tahu Umno serius dalam memerangi gejala ini dan terbukti apa yang berlaku kelmarin, kita mempunyai cara untuk menyelesaikan masalah dalaman," katanya.
- BERNAMA, 18/03/09.

Tiada ulasan: