17 April 2009

'Bukan punca berpuak'

[UTUSAN - 17/04/09]
KUALA TERENGGANU 16 April - Badan Perhubungan UMNO Terengganu menafikan kejadian luar biasa melibatkan ketidakhadiran 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) ke persidangan DUN kelmarin berpunca daripada sikap berpuak-puak dalam parti.
Sebaliknya, Timbalan Pengerusinya, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menegaskan kejadian tersebut sebagai satu 'kemalangan' yang berpunca daripada salah faham.
Tegas beliau, sikap berpuak-puak dalam parti pernah berlaku sebelum ini, namun program pemulihan telah dilakukan dan berjaya membentuk kesepakatan dalam parti.
''Semua barisan kepimpinan UMNO dan BN Terengganu kini berdiri dan bersatu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tengku Putera yang juga Speaker DUN berkata, tindakan untuk menangani perkara itu juga lewat diambil sehingga ia menjadi satu isu besar dan tidak terkawal.
''Alasan dan sebab ketidakhadiran ADUN-ADUN terlibat ke sidang DUN tidak dimaklumkan kepada saya pada hari tersebut menyebabkan ia tidak ditangani dengan segera dan keadaan menjadi celaru," katanya.
Beliau memberitahu, tiada tindakan disiplin akan diambil ke atas 10 ADUN yang tidak hadir ke persidangan DUN.
''Ini kerana apa yang berlaku akibat 'salah faham' dan tiada tindakan disiplin akan diambil," jelasnya.
Tengku Putera meminta isu berkenaan tidak lagi berpanjangan dan perhatian diberikan kepada usaha membangunkan negeri ini.
''Kepimpinan UMNO akan mengadakan program penerangan berhubung perkara ini kepada rakyat apabila ia selesai dalam tempoh terdekat ini," katanya.
-

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Takyah belawok lah Ku Tera!