18 April 2009

Menyusahkan, bazir wang

[UTUSAN - 18/04/09]
Oleh HASNURUL MOHAMED utusanpenang@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 17 April - Para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyifatkan pilihan raya kecil yang bakal diadakan ekoran peletakan jawatan wakil mereka, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai menyusahkan dan membazir wang rakyat.
Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pilihan raya kecil kali ketiga yang diadakan dalam tempoh 14 bulan itu sebenarnya tidak perlu diadakan.
Selain pilihan raya umum pada Mac 2008, penduduk di Penanti turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut seorang pengundi, Abdullah Hassan, 70, sudah semestinya pilihan raya kecil Penanti nanti bakal membabitkan peruntukan kewangan yang bukan sedikit jumlahnya.
"Sekarang, tolonglah letak calon yang sesuai. Yang boleh bekerja untuk rakyat dan membantu masyarakat kerana rasanya dah tak larat lagi asyik-asyik mengundi, mengundi, mengundi," katanya ketika ditemui di tapak pasar malam di Permatang Pasir di sini hari ini.
Katanya, pilihan raya kecil tidak boleh dianggap satu pesta sebaliknya penentuan untuk memilih seorang wakil rakyat yang berwibawa.
Seorang lagi pengundi N12 Penanti, Abu Hassan Kassim, 62, berkata, dia tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan untuk bertanding di Penanti kelak.
Katanya, kekosongan jawatan di situ perlu diganti namun kekerapan diadakan pilihan raya juga menyusahkan rakyat.
"Memanglah sebagai pengundi, kita perlu keluar mengundi tetapi takkan dalam tempoh 13 bulan kerajaan negeri di sini ditubuhkan, ada lagi pilihan raya diadakan.
"Harap-harap selepas ini tiada lagi pilihan raya kecil,'' katanya.
Abdullah Hussin, 60, pula berpendapat, kekosongan DUN Penanti sememangnya tidak harus berlaku kerana pengundi telah membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
"Nak kata menyusahkan sangat, tidaklah. Tetapi keadaan yang berlaku itu menunjukkan senario yang tidak konsisten dalam arena politik.
"Pun begitu, saya tidak boleh nak komen lebih perkara peletakan jawatan ADUN Penanti sudah berlaku dan kita harung sahajalah apabila tiba masanya untuk pilihan raya kecil," ujarnya.
Fauziah Idris, 50, pula berkata, dalam setiap pilihan raya pastinya duit rakyat yang akan digunakan dan apabila terlalu kerap ia merupakan satu pembaziran.
"Sekarang nak buat satu lagi pilihan raya kecil. Dulu, keadaan seperti ini jarang-jarang berlaku tetapi sekarang agak kerap pula," katanya.
Dia berharap pada pilihan raya kecil itu nanti, parti-parti yang terlibat meletakkan calon yang benar-benar sesuai dan layak untuk bertanding.
-

Tiada ulasan: