3 April 2009

Najib warisi sifat mulia Tun Razak: Aishah Ghani

[BERNAMA - 03/04/09]
KUALA LUMPUR: Berasaskan hubungan rapatnya dengan keluarga allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani, yakin anak sulung perdana menteri kedua itu, Datuk Seri Najib Razak, mampu memenuhi harapan rakyat dengan menjadi pemimpin yang adil dan berfikiran jauh.
Aishah, 84, yang mula mengenali Tun Abdul Razak pada 1951 apabila beliau (Aishah) mewakili Umno Kuala Lumpur ke Perhimpunan Agung Umno di Pulau Pinang, berkata Najib mewarisi sepenuhnya sifat mulia bapanya itu.
"Saya yakin beliau akan jadi pemimpin berwibawa dan berkemampuan untuk meneraju Umno dan kerajaan," katanya di sini. Najib, 55, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abdidin di Istana Negara hari ini, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Aishah, yang juga bekas Ketua Wanita Umno, berkata allahyarham Tun Razak mempunyai kemampuan membuat keputusan pantas apabila keadaan memerlukan."Dia bukan tunggu, bila benda baik, dia terus jalankan kerja," katanya. Aishah berkata, sehingga kini beliau akan sebak apabila bercakap tentang Tun Abdul Razak yang meninggal dunia pada 1976.
"Dalam banyak-banyak pemimpin, permergian Tun saya rasa tak pernah tanggung kesedihan macam itu sekali. Seingat saya, semasa bapa saya meninggal juga saya tidak sedih seperti mana saya bersedih semasa kehilangan Tun," katanya.
Aishah juga teringat kata-kata Perdana Menteri pertama, almarhum Tunku Abdul Rahman ketika hendak menyerahkan jawatan itu kepada Abdul Razak.
"Tunku berkata apabila Tun Abdul Razak jadi Perdana Menteri, beliau tidak akan sebaik nasib saya kerana dia tidak akan mendapat seorang timbalan seperti saya," kata Aishah.
Semasa Aishah menjadi Ketua Wanita Umno dari 1972 hingga 1984, banyak perkara yang dibawa oleh pergerakan itu kepada Tun Abdul Razak sudah diterimanya dan tindakan susulan terus diambil.
"Ramai orang tidak tahu perkara ini iaitu Wanita Umno yang meminta kerajaan supaya meletakkan tanda arah kiblat di setiap hotel. Walaupun ada Majlis Tertinggi Umno yang mentertawakan saya membawa isu ini ke pihak atasan, Tun pula lain kerana dia membuat keputusan dan terus melaksanakan perkara itu dan hasilnya dilihat hingga ke hari ini," katanya. -

Tiada ulasan: